Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ini akhirnya potong kuku selepas 66 tahun

Selepas 66 tahun, lelaki dengan kuku terpanjang di dunia akhirnya memutuskan untuk memotongnya. Kuku yang dipotong pula dipamerkan di sebuah muzium.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ini akhirnya potong kuku selepas 66 tahun

(Gambar: guinnessworldrecords/ Instagram)

Diterbitkan : 16 Jul 2018 10:48PM Dikemas Kini : 16 Jul 2018 10:59PM

NEW YORK: Selepas 66 tahun, lelaki dengan kuku terpanjang di dunia akhirnya memutuskan untuk memotongnya. Kuku yang dipotong pula dipamerkan di sebuah muzium.

Menurut Daily Mail, panjang kuku Shridhar Chillal hampir panjang sebuah bas. Lelaki asal Pune, India, yang berusia 82 tahun itu memelihara kukunya sejak beliau berusia 16 tahun. Beliau sebelum ini disahkan oleh Guinness Book of World Record pada 2014 sebagai pemegang rekod dengan kuku terpanjang pada tangan kirinya.

(Gambar-gambar: guinnessworldrecords/ Instagram)

Chillal mendapat inspirasi untuk memelihara kuku pada tangan kirinya pada 1952 selepas seorang guru memukulnya kerana secara tidak sengaja mematahkan salah satu kuku panjangnya. Sejak hari itu, Chillal bersumpah tidak akan memotong kukunya sendiri.

Selepas 66 tahun, beliau akhirnya bersetuju untuk memotong kukunya dalam satu majlis di New York baru-baru ini. Majlis itu berlangsung di Muzium Ripley's Believe it or Not! di Times Square di mana orang awam boleh melihat sendiri kukunya yang sangat panjang itu.

Terakhir kali kuku-kuku Chillal diukur, panjang keseluruhannya lebih sembilan meter - iaitu hampir sama dengan panjang sebuah bas di London.

Kuku terpanjangnya adalah pada ibu jari beliau. Ia berukuran sekitar dua meter, menurut Rekod Dunia Guinness seperti ditukil Daily Mail.

Berkongsi lebih lanjut tentang kehidupan sehariannya dengan kuku panjang, Chillal berkata kukunya sangat rapuh dan beliau perlu berhati-hati terutama sekali sewaktu beliau tidur supaya ia tidak patah.

Daily Mail difahamkan tangan kirinya menjadi lumpuh disebabkan berat kuku yang disimpannya. Akibatnya, Chillal tidak lagi dapat menggerakkan jari-jemarinya seperti biasa.

Ibu bapa Chillal dahulu pernah membantah keputusannya. Namun, Chillal meyakinkan mereka bahawa beliau boleh menggunakan tangan kanan. Malah, beliau berjaya menjadi seorang jurugambar. Kamera diubah suai bagi memudahkannya untuk menggunakan kamera tersebut.

Seperti lelaki lain yang sebaya dengannya pada ketika itu, Chillal juga mendirikan rumah tangga pada usia 29 tahun.

"Keputusan memotong kuku saya sesuatu yang sukar bagi saya, tetapi ketika saya dimaklumkan bahawa ia akan dipamerkan di muzium Ripley's Believe it or Not, saya rasakan ia satu keputusan yang tepat."  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan