Lelaki India ini sudah menerima bukan 1, bukan 2 tetapi 11 dos vaksin COVID-19

(Gambar: Diptendu Dutta/AFP)
INDIA: Seorang warga lelaki India yang dikatakan sudah menerima sekurang-kurangnya 11 suntikan vaksin ditangkap di sebuah pusat kesihatan utama sebelum dapat menerima dos ke-12.
Brahmadeo Mandal, seorang warga tua berusia 84 tahun daripada wilayah timur Bihar, mendapatkan suntikan-suntikan tersebut dengan menggunakan kad identiti yang berbeza dan juga nombor-nombor telefon sanak-saudaranya, menurut laporan akhbar The New Indian Express.
"Pemerintah sudah mencipta sesuatu yang sungguh menakjubkan," kata Encik Mandal, menjelaskan keinginannya untuk mendapatkan lebih banyak suntikan vaksin.
Pemerintah persekutuan India mengeluarkan mandat dua dos vaksin untuk penduduknya, dengan suntikan dos penggalak dibenarkan untuk kakitangan jagaan kesihatan dan juga barisan hadapan serta mereka yang berusia lebih 60 tahun dengan komorbiditi mulai 10 Januari ini.
Encik Mandal, seorang pesara, mengatakan beliau menerima suntikan dos pertama pada 13 Februari tahun lalu.
Selepas itu, beliau juga menerima suntikan pada Mac, Mei, Jun, Julai dan juga Ogos.
Kemudian, Encik Mandal mendapatkan tiga suntikan pada September dengan menggunakan tiga kad identiti kepunyaannya yang semua berbeza. Ini termasuk kad ID pengundi dan kad Aadhaar, iaitu satu kad identiti yang memberikan nombor unik 12 digit yang berbeza untuk setiap rakyat.
Encik Mandal mengatakan menjelang hujung 2021, beliau sudah pun menerima 11 dos vaksin. Encik Mandal juga berasa keadaannya bertambah baik selepas setiap suntikan, menurut The New Indian Express lagi.
Para pegawai daerah di kawasan tersebut sudah mengarahkan agar siasatan dijalankan terhadap kes tersebut yang akan mengenal pasti bagaimana Encik Mandal berjaya menerima banyak suntikan seperti yang didakwa, kata Encik Amrendra Pratap Shahi, seorang pakar bedah daerah.
Warga tua itu mendakwa sudah menyerahkan kad Aadhaar dan nombor telefonnya sekurang-kurangnya lapan kali. Beliau juga mengatakan pernah menggunakan kad ID pengundi dan nombor telefon isterinya sebanyak tiga kali.
Insiden itu berlaku apabila India sedang berusaha untuk memastikan seluruh penduduk lengkap divaksin. Setakat ini, masih ada jurang yang besar antara penduduk yang sudah menerima satu dos vaksin dan mereka yang masih belum menerima suntikan kedua.
Perdana Menteri India Narendra Modi sebelum ini berkata pemerintahnya akan memastikan kesemua 1.3 bilion penduduk di India akan lengkap divaksin menjelang 31 Disember tahun lalu.
Namun, data rasmi menunjukkan 89.4 peratus daripada penduduk sudah menerima suntikan dos pertama, tetapi hanya 64.2 peratus sudah menerima dua dos vaksin setakat 31 Disember 2021.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.