Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki hilang di hutan simpanan Kota Tinggi ditahan, daki tanpa permit

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki hilang di hutan simpanan Kota Tinggi ditahan, daki tanpa permit

(Gambar: Polis Daerah Kota Tinggi/Facebook)

JOHOR BAHRU: Seorang warga China yang ditemui selamat setelah hilang semasa mendaki Hutan Simpanan Panti Timur di Kota Tinggi ditahan kerana dipercayai mendaki secara haram.

Demikian menurut Jabatan Perhutanan Johor pada Selasa (20 Sep).

Pengarah jabatan tersebut Salim Aman memberitahu Mediacorp bahawa lelaki itu, Jason Ren Jie, ditahan sedang kesnya dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi siasatan lanjut.

"Lelaki itu sudahpun ditahan di bawah jabatan perhutanan sejak beliau dibenarkan meninggalkan hospital pada Ahad (18 Sep)," kata Encik Salim.

"Ini bukan kes serius. Oleh itu, kami tidak menahannya di penjara, tetapi berdasarkan persetujuan dengannya, dia akan ditahan di premis kami," tambah Encik Salim.

Polis Johor sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa lelaki tersebut merupakan warga Singapura. Namun, Encik Salim dan seroang jurucakap daripada divisyen polis Kota Tinggi pada Selasa (20 Sep) mengesahkan kepada Mediacorp bahawa dia adalah seorang warga China yang memegang status Penduduk Tetap (PR) di Singapura.

Tambah Encik Salim, kes lelaki tersebut sudahpun dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan dijangka didakwa di bawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1985 kerana mendaki hutan simpanan tanpa permit.

"Bagi kesalahan ini, dia berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 (S$3,090) atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," tambah Encik Salim.

"Kami menahannya kerana dia adalah seorang warga asing."

"Sekiranya dia adalah seorang warga tempatan, kami akan melepaskannya dengan ikat jamin, tetapi kerana dia seorang warga asing, dia akan ditahan sehingga kes diselesaikan," ujar Encik Salim.

Menurut polis Kota Tinggi, pendaki tersebut dan rakannya, seorang warga Malaysia, mula mendaki sekitar pukul 11.30 pagi pada pagi Sabtu (17 Sep) dan kemudian terpisah selepas sekitar dua jam.

Setelah polis dimaklumkan, satu pasukan daripada stesen polis Batu Ampat dikerahkan ke tempat kejadian. Operasi mencari dan menyelamatkan pendaki itu kemudian dijalankan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia daripada stesen bomba dan penyelamat Kota Tinggi, serta Jabatan Perhutanan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada petang Ahad (18 Sep), Ketua Polis Kota Tinggi Hussin Zamora berkata divisyen beliau menerima panggilan sekitar pukul 2.20 petang daripada orang awam, memberitahu mereka bahawa pendaki yang dilaporkan hilang sebelum itu ditemui di sekitar 52 kilometer di lebuhraya Kota Tinggi-Mersing.
Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan