Skip to main content

Dunia

Lelaki dituduh bunuh mantan PM Jepun Shinzo Abe dibicarakan pada 28 Okt

Lelaki yang dituduh menembak mati mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe akan dibicarakan pada Selasa (28 Okt), tiga tahun selepas pembunuhan tersebut menggemparkan negara yang jarang melaporkan jenayah melibatkan senjata api atau keganasan politik.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dituduh bunuh mantan PM Jepun Shinzo Abe dibicarakan pada 28 Okt

Para hadirin meletakkan jambangan bunga dan berdoa untuk mendiang Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe yang ditembak ketika berkempen bagi Pilihan Raya Parlimen pada 2022, semasa upacara memperingati pembunuhannya di kuil Zojoji, Tokyo, Jepun pada 8 Julai 2023. (Gambar fail: REUTERS/Issei Kato)

Diterbitkan : 28 Oct 2025 08:58AM
TOKYO: Lelaki yang dituduh menembak mati mantan Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe akan dibicarakan pada Selasa (28 Okt), tiga tahun selepas pembunuhan tersebut menggemparkan negara yang jarang melaporkan jenayah melibatkan senjata api atau keganasan politik.

Perbicaraan itu akan diadakan pada hari yang sama di mana dua sekutu mendiang Encik Abe, Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dijadual mengadakan sidang puncak di Tokyo.

Tetsuya Yamagami, 45 tahun, diberkas di tempat kejadian pada Julai 2022 selepas dipercayai melepaskan tembakan ke arah Encik Abe menggunakan senjata buatan sendiri ketika mantan perdana menteri itu sedang berucap dalam kempen pilihan raya di bandar Nara, barat Jepun.

Yamagami menyalahkan Encik Abe kerana mempromosikan Unification Church, sebuah kumpulan agama yang dipersalahkannya selepas ibunya mendermakan sekitar 100 juta yen (S$859,858.82) kepada pertubuhan tersebut, menurut laporan media tempatan.

Unification Church diasaskan di Korea Selatan pada 1954. Ia terkenal dengan majlis perkahwinan beramai-ramai dan menganggap pengikut Jepun sebagai antara sumber pendapatan utamanya.

Selepas melalui beberapa sesi pra-perbicaraan, Yamagami dijangka akan mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tetapi akan mencabar sebahagian dakwaan yang berkaitan dengan pelanggaran Akta Kawalan Senjata Api dan Pedang serta Akta Penghasilan Senjata Api, menurut seorang pegawai di Mahkamah Daerah Nara.

Insiden tembakan itu membawa kepada pendedahan bahawa lebih 100 Anggota Parlimen Parti Demokratik Liberal di bawah pimpinan Encik Abe mempunyai kaitan dengan Unification Church, sekali gus menjejas sokongan awam terhadap parti pemerintah itu yang kini diterajui oleh Cik Takaichi.

Selepas sesi pertama perbicaraan pada Selasa yang dijadual bermula pada pukul 2.00 petang (pukul 1.00 tengah hari waktu Singapura), sebanyak 17 lagi sesi perbicaraan akan dijalankan sehingga hujung tahun sebelum keputusan dijangka diumumkan pada 21 Januari depan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita