Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ditembak mati ketika tunggu anak pulang sekolah

 Ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak pulang dari sekolah di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Seri Kembangan petang semalam (1 Mac) gempar apabila dikejutkan dengan insiden tembakan, mengakibatkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditembak mati ketika tunggu anak pulang sekolah

Seorang lelaki di tembak mati oleh dua suspek yang belum dikenal pasti di sebuah perhentian bas sebuah sekolah rendag. (Gambar: The Malay Mail Online)

Diterbitkan : 02 Mar 2018 07:30AM Dikemas Kini : 02 Mar 2018 07:33AM

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak pulang dari sekolah di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Seri Kembangan petang semalam (1 Mac) gempar apabila dikejutkan dengan insiden tembakan, mengakibatkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera.

Dalam kejadian sekitar 5.45 petang itu, seorang daripada dua lelaki bermotor dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berusia 40-an, mengakibatkan mangsa terbunuh di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berhubung kejadian itu mengesahkan bahawa seorang lagi lelaki berusia 30-an yang berada berdekatan turut cedera. Beliau dipercayai terkena tembakan di bahagian belakang badan.

Katanya, kedua-dua mangsa sedang menunggu anak keluar dari sekolah pada ketika itu.

"Ketika kejadian, ramai orang awam sedang menunggu anak keluar dari sekolah. Keadaan mangsa yang cedera stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Serdang," katanya.

SAC Fadzil berkata bahawa identiti mangsa yang maut sedang dikenal pasti dan ketika ini, Unit Forensik sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya sambil menambah bahawa kes itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Seorang saksi kejadian tersebut yang enggan namanya disiarkan berkata bahawa beliau sedang menunggu anaknya dekat pintu pagar sekolah apabila kejadian itu berlaku.

"Semua ibu bapa lari bertempiaran (ketika kejadian), ia pengalaman ngeri buat kami hari ini,” katanya.

Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, berkata bahawa ketika kejadian, beliau sedang menunggu anak perempuannya keluar sekolah, kira-kira 10 meter dari perhentian bas berkenaan.

Katanya, beliau kemudian terdengar bunyi tembakan yang disangkakannya bunyi mercun sebelum melihat ibu bapa yang berada di tempat kejadian lari bertempiaran.

"Apabila keadaan reda, kami melihat seorang lelaki tertiarap dan terdapat darah di badannya," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad berkata beliau tidak melihat siapa yang melepaskan tembakan.

"Ada saksi lain mengatakan ada individu bermotosikal tembak mangsa dan melarikan diri," katanya.

Seorang lagi saksi yang dikenali sebagai Din berkata bahawa beliau hanya berada kurang lima meter dari tempat kejadian.

"Hari ini, perhentian bas sesak dengan ibu bapa yang menunggu anak selepas hujan reda, tiba-tiba ada bunyi beberapa letupan yang kuat di perhentian bas itu, saya ingat mercun,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati bahawa tempat kejadian itu hanya satu kilometer dari Balai Polis Serdang.

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan