Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki ditembak mati, ada kaitan dengan kongsi gelap

Seorang lelaki terbunuh akibat ditembak beberapa kali di bahagian kepalanya pada Rabu (19 Sep) ketika berada di dalam kenderaannya. Insiden itu berlaku di hadapan rumah mangsa di Jalan Timah 9 di Skudai, yang terletak sekitar 20 minit dari Pusat Pemeriksaan Johor Bahru.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditembak mati, ada kaitan dengan kongsi gelap

Mangsa ditemui mati dalam kereta Toyota Vellfirenya. (Gambar: Malay Mail)

Diterbitkan : 20 Sep 2018 04:23PM Dikemas Kini : 20 Sep 2018 05:01PM

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki terbunuh akibat ditembak beberapa kali di bahagian kepalanya pada Rabu (19 Sep) ketika berada di dalam kenderaannya. Insiden itu berlaku di hadapan rumah mangsa di Jalan Timah 9 di Skudai, yang terletak sekitar 20 minit dari Pusat Pemeriksaan Johor Bahru.

Mangsa, yang berusia 20-an tahun, sedang berada di dalam kereta Toyota Vellfirenya dan dipercayai baru sahaja pulang ke rumahnya apabila beliau ditembak pada sekitar 6.00 petang.

Menurut sumber polis, mangsa dipercayai ditembak dari jarak dekat oleh suspek.

"Lelaki bersenjata itu dipercayai mengekori mangsa dalam kenderaan berasingan sebelum keluar daripada kenderaan tersebut dan menembak mangsa tiga kali di bahagian kepalanya dalam insiden itu.

"Para penyiasat sudahpun menemui peluru berukuran 9mm di tempat kejadian yang menunjukkan bahawa suspek menggunakan pistol semi-automatik," kata sumber berkenaan kepada Malay Mail.

Mayat mangsa, yang identitinya tidak didedahkan, kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Aminah bagi menjalani bedah siasat.

Awal dari itu, jiran tetangga memaklumkan polis mengenai insiden itu setelah terdengar tembakan-tembakan tersebut dan mangsa ditemui dalam keadaan tersandar di tempat duduk pemandu.

Pasukan jenayah serius dari daerah polis Johor Bahru Utara kemudian dengan segera dikerahkan ke tempat kejadian.

Menurut sumber, siasatan awal menunjukkan bahawa insiden tembakan itu ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

"Kami sedang menjalankan siasatan bagi menentukan motif insiden tersbeut," kata beliau.

Difahamkan mangsa mempunyai kaitan dengan sindiket-sindiket perjudian haram di Johor Bahru dan insiden itu mungkin sebagai tindakan balas dendam.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan