Skip to main content

Dunia

Lelaki ditahan cuba seludup 15 ekor lembu jelang sambutan Aidiladha

 Seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyeludup masuk 15 ekor lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 (S$22,745) dari Sungai Golok ke sempadan negara ini di Rantau Panjang, Kelantan, pada Khamis (24 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki ditahan cuba seludup 15 ekor lembu jelang sambutan Aidiladha

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 11:47AM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 11:50AM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki cuba menyeludup masuk 15 ekor lembu yang dianggarkan bernilai lebih RM70,000 (S$22,745) dari Sungai Golok ke sempadan negara ini di Rantau Panjang, Kelantan, pada Khamis (24 Jul).

Menurut kenyataan Markas Briged Kelapan Infantri, kejadian berlaku apabila pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja mendengar bunyi percikan air dari arah sungai berkenaan dan mendapati tiga lelaki sedang mengheret kesemua lembu itu untuk masuk ke sempadan negara.

Pasukan tersebut melakukan serbuan dan berjaya menahan seorang lelaki pada 6.40 petang di Kampung Rahmat, Tanjung Baru, Rantau Panjang.

Bagaimanapun dua lagi individu berjaya meloloskan diri, menurut kenyataan tersebut hari ini (24 Jul).

“Hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati sebanyak 15 ekor lembu dan dua motosikal jenama Honda dirampas.

“Lelaki yang ditahan dibawa ke Balai Polis Lalang Pepuyu untuk tindakan lanjut manakala haiwan dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Rantau Panjang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut lembu berkenaan dipercayai untuk dijual di dalam negara memandangkan harganya yang murah dari Thailand selain mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan warga tempatan.

“Rampasan secara besar-besaran ini jelas memperlihatkan penyeludupan lembu ini yang dijangka berulang berikutan sambutan Aidiladha tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita