Lelaki ditahan bersama 22 biji durian musang king
Seorang lelaki, 42 tahun, ditahan atas kesalahan memasuki hutan simpanan tanpa permit, menurut Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Sebuah sekatan jalan di Pahang untuk mengelak orang ramai menceroboh masuk hutan simpanan. (Gambar: Kosmo)
KUANTAN: Seorang lelaki, 42 tahun, ditahan atas kesalahan memasuki hutan simpanan tanpa permit, menurut Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Lelaki itu ditemui bersama 22 biji durian musang king di dalam Kompartmen 175 Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, pada Khamis (8 Jul), lapor Sinar Harian.
Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad berkata lelaki itu mendakwa mahu masuk ke kebun miliknya yang terletak bersebelahan HSK Batu Talam untuk mengambil durian yang gugur namun secara tidak sengaja memasuki hutan simpan tersebut.
"Lelaki itu berjaya melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) pihak berkuasa dengan alasan untuk ke kebunnya dan membawa geran tanah sebagai bukti.
"Kami tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit mengambil durian yang terdapat dalam hutan ini untuk menjualnya kepada pemborong.
"Jadi, dia ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan sementara motosikal dan 22 biji durian disita," katanya pada Jumaat (9 Jul) kepada Sinar Harian.
Beliau menjelaskan, lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 kerana memasuki hutan simpanan tanpa permit.
Tambahnya lagi, jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sebanyak RM10,000 (S$3,224) atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada Ahad (4 Jul), penebangan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar di HSK Batu Talam dipersoalkan oleh netizen memandangkan pokok durian lebat berbuah.
Kerja-kerja penebangan itu dilakukan dalam operasi penguatkuasaan di HSK Batu Talam, Raub sehingga menyebabkan 18 pekebun haram durian Musang King di kawasan itu ditahan kerana melakukan provokasi.
Menurut Sinar Harian, pada Isnin (5 Jul) pula, Mahkamah Majistret Raub membenarkan 18 pekebun berkenaan direman namun mereka dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa (6 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.