Lelaki ditahan bantu siasatan kes dadah libatkan pembantu juruterbang Malaysia di Jakarta
Polis menahan seorang juruterbang berusia 30-an tahun yang dipercayai berperanan menguruskan kewangan hasil penjualan dadah bagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan bercakap pada sidang media mengenai kejayaan JSJN membongkar makmal haram memproses dadah dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah tempatan serta antarabangsa bernilai RM2.41 bilion di Puncak Alam, Selangor, pada 9 September 2026. (Gambar: BERNAMA)
- Polis JSJN Bukit Aman menahan seorang juruterbang dan enam individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa di Lembah Klang dan Jakarta.
- Penahanan suspek dibuat hasil maklumat daripada pembantu juruterbang Malaysia yang ditahan di Jakarta kerana cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
- Dalam operasi berasingan, sembilan individu berusia 19 hingga 33 tahun turut ditahan dalam lima serbuan Ops Melanoplus di Lembah Klang pada 21 Ogos.
- Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM10 juta, dan beberapa suspek dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan, berkata suspek ditahan di sekitar Lembah Klang pada Isnin (7 Sep).
"Jadi, sekarang sebanyak tujuh individu telah ditahan dan suspek merupakan juruterbang daripada syarikat penerbangan yang lain," kata Encik Hussein dalam sidang media di sebuah kawasan perindustrian di Puncak Alam pada Rabu (9 Sep).
Pada 4 September, Encik Hussein berkata polis menahan enam lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan penahanan seorang pembantu juruterbang rakyat Malaysia di Jakarta.
Menurut beliau, enam suspek itu ditahan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pembantu juruterbang berusia 39 tahun berkenaan ketika disoal siasat oleh pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos.
Media sebelum ini melaporkan pembantu juruterbang itu ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Polis Republik Indonesia (POLRI) menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta (S$13.9 juta).
Dalam perkembangan berasingan, polis menahan sembilan individu menerusi lima siri serbuan Ops Melanoplus di sekitar Lembah Klang pada 21 Ogos.
Berdasarkan maklumat risikan, sembilan suspek yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita berusia antara 19 dengan 33 tahun.
"Hasil serbuan itu, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk 61.26kg cecair methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 0.79kg pil ekstasi, 6.09kg bunga ganja, 3.80kg pil Erimin 5, 11.13kg ganja, 3.25kg methamphetamine, 870 gram biskut ganja, 490 gram ketamin dan 480 gram serbuk MDMA," kata Encik Hussein.
Polis turut merampas 959 katrij cecair MDMA. Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM10.82 juta (S$3.3 juta) dengan berat melebihi 86kg.
Tiga lagi suspek dikenakan tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985, manakala dua yang lain dibebaskan dengan ikat jamin polis.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.