Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki diserang jerung dekat Barrier Reef

Seorang lelaki dibaham jerung pada bahagian kakinya dekat Great Barrier Reef (Terumbu Sawar Besar) Australia, menurut pihak berkuasa pada Isnin (25 Mac). Ini merupakan serangan keempat dalam tempoh enam bulan di destinasi yang popular dalam kalangan pelancong itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki diserang jerung dekat Barrier Reef

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 25 Mar 2019 04:48PM Dikemas Kini : 25 Mar 2019 04:53PM

CAIRNS: Seorang lelaki dibaham jerung pada bahagian kakinya dekat Great Barrier Reef (Terumbu Sawar Besar) Australia, menurut pihak berkuasa pada Isnin (25 Mac). Ini merupakan serangan keempat dalam tempoh enam bulan di destinasi yang popular dalam kalangan pelancong itu.

Para paramedik dikerahkan ke tempat menyelam Hardy Reef dekat pantai Queensland sejurus selepas tengah hari waktu tempatan setelah lelaki berkenaan, yang berusia dalam lingkungan 20-an tahun, dibaham pada bahagian paha.

Kecederaannya kelihatan tidak membahayakan nyawa dan beliau dalam keadaan stabil ketika dibawa ke hospital berdekatan dengan menaiki helikopter, menurut penguasa kecemasan dan ambulans Queensland.

Serangan terbaru itu merupakan yang keempat dalam tempoh enam bulan di Kepulauan Whitsunday.

Seorang lelaki berusia 33 tahun meninggal dunia pada November apabila kaki dan lengannya dibaham. Pada September, seorang wanita dan seorang budak perempuan berusia 12 tahun cedera parah akibat diserang jerung dalam tempoh selang 24 jam di kawasan yang sama.

Selepas serangan pada September lalu, pihak berkuasa berhasil menangkap dan membunuh beberapa ekor jerung.

Australia mencatat insiden terbanyak dari segi serangan jerung, namun kematian akibat haiwan tersebut jarang berlaku.

Serangan jerung jarang berlaku di Whitsundays, sebuah kepulauan tropika yang merupakan destinasi pelancongan yang popular di tengah-tengah Barrier Reef. 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan