Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki dipenjara sebab curi barang seperti span cuci pinggan, pisau cukur

Seorang lelaki merasai pengalaman bermalam di penjara sehari dan membayar denda RM200 (S$65) gara-gara mencuri pelbagai barangan termasuk pisau cukur dan alat membuang jeragat di kedai peruncit perkakas rumah, Mr D.I.Y pada Sabtu (1 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara sebab curi barang seperti span cuci pinggan, pisau cukur

Gambar hiasan span cuci pinggan (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 03 Dec 2018 10:07PM Dikemas Kini : 03 Dec 2018 10:09PM

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki merasai pengalaman bermalam di penjara sehari dan membayar denda RM200 (S$65) gara-gara mencuri pelbagai barangan termasuk pisau cukur dan alat membuang jeragat di kedai peruncit perkakas rumah, Mr D.I.Y pada Sabtu (1 Dis).

Yong Lee Siong, 32, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Siti Radziah Kamarudin selepas dia mengaku bersalah atas perbuatannya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini (3 Dis).

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu yang masih bujang, dipenjara tujuh hari jika dia gagal membayar denda.

Yong didakwa mencuri dua set pisau cukur, satu batang alat membuang jeragat, satu unit pembesar bunyi, satu bungkus putik kapas, satu jaring span pencuci pinggan dan dua unit alat pendengar bunyi yang keseluruhannya bernilai RM50.66 (S$16) milik kedai Mr D.I.Y Trading Sdn Bhd, di Tesco Extra Taman Midah, Jalan Midah 2, Taman Midah, Cheras, Kuala Lumpur pada 8.30 malam, 1 Disember lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kedua atau yang seterusnya hendaklah diseksa dengan penjara dan boleh juga didenda dan sebat.

Ketika rayuan, peguam Muhammad Rhastdan Abdul Wahab yang mewakili Yong memohon anak guamnya hanya dijatuhi hukuman ringan dengan alasan tertuduh insaf dan mencuri barang-barang keperluan itu hanya untuk kegunaan sendiri bukannya untuk dijual.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan