Lelaki dipenjara langgar perintah kuarantin setelah rakan kerja dijangkiti COVID-19
Setelah rakan setugasnya dijangkiti COVID-19, seorang lelaki diarahkan pulang ke rumah dan jangan melaporkan diri untuk bekerja tetapi dia sebaliknya bersiar-siar di sekitar Singapura untuk lapan hari berturut-turut dengan memberi alasan dia berasa bosan di rumah.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Setelah rakan setugasnya dijangkiti COVID-19, seorang lelaki diarahkan pulang ke rumah dan jangan melaporkan diri untuk bekerja tetapi dia sebaliknya bersiar-siar di sekitar Singapura untuk lapan hari berturut-turut dengan memberi alasan dia berasa bosan di rumah.
Bagi kesalahan berulang kali melanggar perintah kuarantin, Soh Poh Tiong berusia 65 tahun dikenakan hukuman penjara 12 minggu pada Selasa (8 Dis).
Dia mengaku bersalah di atas tiga tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, dengan lima lagi tuduhan dipertimbangkan.
Mahkamah diberitahu bahawa Soh, seorang pekerja pembersihan yang ditugaskan di pusat beli-belah Northpoint City, melaporkan diri untuk bekerja pada 10 Mei tahun ini.
Penyelianya memberitahunya supaya pulang ke rumah dan berkata Soh tidak boleh melaporkan diri untuk bekerja sehingga notis lanjut diberikan, kerana rakan setugasnya dijangkiti COVID-19.
Namun, Soh tidak pulang ke rumah dan sebaliknya pergi bersiar-siar di sekeliling Singapura kerana dia berasa bosan. Untuk beberapa hari seterusnya, para pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) cuba melawat Soh untuk memberinya notis kuarantin di rumah, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dia tidak berada di rumah.
Mereka akhirnya dapat menyerahkan arahan itu kepada Soh pada 13 Mei, yang memerlukannya untuk duduk di rumah sehingga 22 Mei, di samping memberitahunya bahawa dia tidak boleh keluar rumah meskipun untuk membeli makanan.
Mereka memberitahu Soh bahawa dia sama ada boleh menggunakan aplikasi mudah alih untuk membeli makanan atau mendapatkan bantuan teman atau ahli keluarga.
Soh menerimanya dan menandatangani notis arahan itu.
Namun, dia melanggar perintah kuarantin dengan sengaja dan keluar rumah setiap hari antara 14 Mei dengan 21 Mei, sambil mendakwa bahawa dia berasa sangat bosan di rumah. Dia juga bersiar-siar di sekitar kawasan kejiranannya atau mengunjungi beberapa tempat serta menghabiskan banyak masa sepanjang tempoh kuarantin dengan menaiki bas atau kereta api.
Berdasarkan rekod kad EZ-linknya, Soh menghabiskan masa antara dua dengan 10 jam setiap hari dengan menaiki bas dalam tempoh tersebut. Dia juga mengunjungi pejabat-pejabat awam seperti Hab HDB Toa Payoh, berinteraksi dengan para kakitangan di sana untuk membayar bilnya dan juga mengunjungi beberapa pusat pertukaran bas termasuk di Ang Mo Kio, Clementi dan Tampines.
Rekod perjalanan juga menunjukkan bahawa dia menaiki beberapa bas pada 16 Mei antara sekitar pukul 9.00 pagi dengan 7.00 malam dan melakukan perjalanan ke Ang Mo Kio, Clementi, Harbourfront, Tampines dan Lorong Chuan.
Bagi setiap tuduhan melanggar perintah kuarantin, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.