Lelaki dipenjara kerana cuba bunuh bekas isteri dengan bom di Austria
Mahkamah Austria pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara hampir 18 tahun terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun kerana cuba untuk membunuh bekas isterinya dengan sebuah bungkusan bom buatan sendiri tahun lalu.
(Gambar: Jeremy Long)
VIENNA: Mahkamah Austria pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara hampir 18 tahun terhadap seorang lelaki berusia 29 tahun kerana cuba untuk membunuh bekas isterinya dengan sebuah bungkusan bom buatan sendiri tahun lalu.
Mangsa berusia 27 tahun yang juga ibu kepada tiga anak, mengalami kesan lecur serius dalam serangan pada Oktober.
Kotak berisi bom itu meletup ketika mangsa mengambilnya di luar apartmennya di bandar Guttaring, Carinthia di selatan Austria.
Mahkamah di Klagenfurt, ibu kota Carinthia, menjatuhkan hukuman penjara 17 tahun lapan bulan terhadap bekas suami mangsa selain menahannya di pusat rawatan pesakit mental.
Seorang rakan subahatnya berusia 29 tahun, yang membantu melakukan serangan itu, dihukum penjara selama 16 tahun.
Kedua-dua tertuduh dan pihak pendakwa boleh membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Berdasarkan prosiding mahkamah, rakan jenayah itu yang merupakan seorang anggota tentera, meletakkan bungkusan bom di rumah mangsa, menekan loceng dan kemudian melarikan diri.
Bekas suami mangsa, yang juga bekas anggota tentera, menyembunyikan diri berhampiran dan meletupkan bom buatan itu dari jauh.
Menurut polis, kedua-dua suspek sebelum ini menguji bom buatan mereka di kawasan hutan ketika musim panas, selepas memperoleh bahan yang diperlukan online.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.