Skip to main content

Dunia

Lelaki dipenjara 9 tahun; tergamak belasah isteri, anak gara-gara tidak dibelikan rokok

Anggaran Waktu Membaca:
AYER KEROH: Tindakan seorang penganggur yang berang apabila isterinya gagal membelikan rokok sehingga tergamak mencederakan wanita itu serta dua anaknya membawa padah, apabila dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun.

Tertuduh Rony Abraham, 37 tahun, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah atas empat tuduhan, dalam dua prosiding berasingan di Mahkamah Seksyen dan Majistret Ayer Keroh, lapor Astro AWANI.

Mengikut satu tuduhan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Nazifah Mohd Salleh, 38 tahun, dengan cara mencucuh puntung rokok di lengan tangan kanan dan bahagian mata sebelah kiri mangsa.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman atas tiga lagi tuduhan memukul isteri serta dua anaknya yang berusia 12 dan 13 tahun, lapor Astro AWANI.

Mengikut ketiga-tiga tuduhan, tertuduh didapati menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan memukul pipi kiri dan seluruh badan wanita itu menggunakan tangan selain turut menumbuk mulut anak perempuannya yang berusia 13 tahun dan menendang belakang badan anak lelakinya yang berumur 12 tahun.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 (S$615.80) atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bukit Tembayan, Tanjung Kling di dalam daerah Melaka Tengah antara pukul 7.00 pagi hingga 11.00 pagi, 17 Oktober 2022 lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh mula berang apabila isterinya tidak membelikan rokok untuknya sebelum wanita itu kemudian bertindak keluar rumah bagi mendapatkan bekalan berkenaan untuk suaminya.

Tertuduh bagaimanapun dikatakan masih tidak berpuas hati dan bertindak mengarahkan isterinya duduk di atas katil dan mencucuh puntung rokok ke bahagian badan mangsa, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Tertuduh turut memukul dua lagi anaknya sebelum secara tiba-tiba bertindak naik ke atas bumbung rumah dah meminta tolong.

Hakim Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap pada 23 oktober lalu atas pertuduhan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Manakala Majistret Sharda Shienha menetapkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap tiga pertuduhan dibawah Seksyen 323 kanun sama, bagaimanapun hukuman itu berjalan serentak daripada tarikh sabitan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Fiqri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita