Skip to main content

Dunia

Lelaki dipenjara 2 bulan kerana tumbuk mata ibu kandung

Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata kirinya, seorang penganggur menerima balasan hari ini (8 Feb) apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dipenjara 2 bulan kerana tumbuk mata ibu kandung

Gambar hiasan. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 08 Feb 2019 05:53PM Dikemas Kini : 08 Feb 2019 05:55PM

KUALA LUMPUR: Akibat mencederakan ibu kandung dengan menumbuk mata kirinya, seorang penganggur menerima balasan hari ini (8 Feb) apabila dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Lim Chin Seng, 40, setelah dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan ibunya.

Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 1 Januari 2019.

Dia sebelum itu berdepan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Cik Teoh Siew Ngoh, 64 tahun, di kawasan parkir Brem Park Kondominium 1, Taman Gembira, Brickfields, di sini pada 8.30 malam, 20 Jun 2018.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu.

"Saya dan ibu sudah berdamai. Ini kesalahan pertama dan saya kesal atas perbuatan saya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan mangsa adalah ibu kandung tertuduh dan meminta supaya tertuduh memohon maaf kepada ibunya yang hadir di mahkamah.

"Saya tidak akan mengulanginya. Saya minta maaf ibu," kata tertuduh sambil memandang ke arah ibunya yang duduk di galeri awam.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita