Lelaki dipecat, dihantar pulang dari UAE kerana 'meraikan' serangan masjid Christchurch
Sebuah Syarikat di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan bahawa seorang pekerja di syarikatnya dipecat dan dihantar pulang ke negara asalnya, setelah dia didakwa meraikan pembunuhan beramai-ramai orang Islam di New Zealand minggu lalu.
Ahli keluarga dari Fiji di Christchurch. (Gambar: Jorge Silva/Reuters)
DUBAI: Sebuah Syarikat di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan bahawa seorang pekerja di syarikatnya dipecat dan dihantar pulang ke negara asalnya, setelah dia didakwa meraikan pembunuhan beramai-ramai orang Islam di New Zealand minggu lalu.
Sekurang-kurangnya 50 orang dibunuh dan puluhan lagi cedera di dua masjid di Christchurch setelah seorang pengganas melepaskan tembakan. Serangan itu disifatkan sebagai serangan tembakan beramai-ramai yang paling dahsyat di New Zealand.
Warga Australia Brenton Tarrant, 28 tahun, yang disyaki seorang pelampau kaum kulit putih yang tinggal di New Zealand, didakwa atas tuduhan membunuh pada Sabtu.
"Semasa hujung minggu, seorang pekerja Transguard menulis komen-komen mengapi-apikan di akaun Facebook peribadinya untuk meraikan serangan kejam di masjid Christchurch, New Zealand," menurut syarikat keselamatan Transguard dalam satu kenyataan pada Selasa.
"Kami tidak punya toleransi langsung terhadap penggunaan media sosial yang tidak wajar, dan disebabkan itu individu itu dipecat serta-merta dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dihadapkan ke muka pengadilan," menurut Pengarah Urusan Transguard, Encik Greg Ward.
Menurut syarikat itu, pekerja tersebut dihantar pulang oleh kerajaan UAE ke negara aslinya.
Transguard, sebuah syarikat jenama Emirates Group, tidak mendedahkan komen-komen yang didakwa dibuat oleh individu tersebut. Nama, kerakyatan, jawatan pekerja itu tidak didedahkan.
Para pegawai kerajaan UAE tidak memberi respon kepada permintaan untuk mengulas insiden itu. Seorang jurucakap Emirates mengatakan bahawa syarikat itu tidak mempunyai apa-apa yang ingin ditambah kepada kenyataan Transguard.
UAE sudah mengutuk serangan itu dan menyampaikan takziah kepada keluarga-keluarga mangsa dan New Zealand.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.