Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki dilapor bakar diri sendiri dekat pejabat PM Jepun

Lelaki yang membakar dirinya sendiri di Jepun membayangkan bahawa dia menentang rancangan untuk mengadakan upacara persemadian negara bagi mantan perdana menteri Shinzo Abe yang mati dibunuh.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dilapor bakar diri sendiri dekat pejabat PM Jepun

Laluan masuk ke tempat kerja rasmi dan kediaman Perdana Menteri Jepun di daerah Kasumigaseki di Tokyo, Jepun. (Gambar fail: Google Street View)

TOKYO: Seorang lelaki dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedar selepas dipercayai membakar dirinya sendiri berhampiran pejabat Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida di Tokyo pada Rabu (21 Sep), menurut laporan media tempatan.

Agensi-agensi berita termasuk TV Asahi dan akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan lelaki itu membayangkan bahawa dia menentang rancangan untuk mengadakan upacara persemadian negara bagi mantan perdana menteri Shinzo Abe yang mati dibunuh. Polis dan pejabat perdana menteri enggan memberi sebarang komen berhubung laporan itu.

Seorang pegawai polis yang cuba memadamkan api turut tercedera dan mereka berdua dibawa ke hospital, menurut TV Asahi.

Encik Abe dibunuh pada 8 Julai dan upacara persemadian negara dijadual berlangsung pada 27 Sep, dengan sekitar 6,000 orang dari Jepun dan luar negara dijangka menghadirinya.

Namun para pembangkang terhadap acara itu kian meningkat menyusuli pendedahan selepas pembunuhan Encik Abe tentang hubungan antara Parti Demokratik Liberal dengan Gereja Unification. Suspek di sebalik kematian Encik Abe berkata gereja itu memufliskan ibunya dan dia merasakan mantan perdana menteri itu menyokong langkah berkenaan.

Sebahagian besar rakyat Jepun kini menentang upacara persemadian itu, dengan tunjuk-tunjuk perasaan dirancang sebelum istiadat itu dan pada hari ia dijangka berlangsung dan ini kian merudumkan sokongan terhadap Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida.
Sumber : Agensi berita/IM/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan