Lelaki dijel 14 hari; ceroboh bilik kawalan CCTV kerana lapar
Seorang lelaki yang mendakwa mencerobohi bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Dayabumi kerana lapar, dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret hari ini (1 Okt).

(Gambar: Unsplash)
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang mendakwa mencerobohi bilik kawalan kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Dayabumi kerana lapar, dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret hari ini (1 Okt).
Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas Ahmad Solleh Jaafar, 33 tahun, mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjara mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Sep lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin pada pukul 10.10 pagi pada 28 Sep lalu mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM5,000 (S$1,642) atau kedua-duanya.
Ketika ditanya mengapa dia melakukan kesalahan itu, tertuduh yang tidak bekerja memaklumkan mahkamah bahawa dia lapar.
Mohamad Aizat : Kalau kamu lapar, minta cara baik, ini ceroboh bilik kawalan. Bilik kawalan itu bukan kedai makan. Macam mana kamu tahu ada makanan di situ, kamu kerja di situ ke?
Ahmad Solleh : Ada makanan… saya tak kerja di situ.
Timbalan Pendakwa Raya Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran, bagaimanapun Ahmad Solleh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.