Lelaki dihukum penjara 22 tahun; serang warga tua Asia hingga maut dalam jenayah kebencian di NY
NEW YORK: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selama 22 tahun pada Jumaat (31 Mac) setelah mengaku bersalah menyerang seorang pendatang asing berusia 61 tahun sehingga maut di East Harlem dua tahun lalu semata-mata kerana mangsa berketurunan Asia.
Hukuman ke atas lelaki itu, Jarrod Powell, dijatuhkan beberapa bulan setelah dia mengaku bersalah membunuh pendatang asing, Yao Pan Ma, yang disifatkan sebagai jenayah kebencian, menurut pihak pendakwa.
Ma berada dalam keadaan koma selama sekitar lapan bulan sebelum meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya semasa serangan itu, lapor The New York Times.
Dalam rayuannya, menurut pihak pendakwa, Powell, 51 tahun, berkata, dia menyasarkan lelaki lebih berusia itu kerana beliau berketurunan Asia.
"New York adalah salah satu bandar paling rencam di dunia," kata Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg, dalam kenyataannya semasa menjatuhkan hukuman tersebut.
"Dan tiada siapa yang perlu bimbang bahawa mereka mungkin dalam bahaya disebabkan latar belakang mereka."
Serangan Powell ke atas Ma pada April 2021 berlaku di tengah-tengah keganasan yang menyasarkan individu berketurunan Asia di New York City dan di merata Amerika Syarikat (AS) selepas pandemik koronavirus melanda.
Jumlah jenayah kebencian yang melonjak juga mendesak pemimpin Amerika berketurunan Asia di bandar itu untuk menggesa agar lebih banyak usaha dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut, menurut The New York Times.
Pejabat Encik Bragg pada Jumaat mendedahkan sebanyak 39 kes jenayah kebencian terhadap keturunan Asia masih belum diselesaikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.