Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki digelar wira selamatkan kanak-kanak jatuh dari tingkat 6 apartmen

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki digelar wira selamatkan kanak-kanak jatuh dari tingkat 6 apartmen

(Gambar: @zlj517/Twitter)

Diterbitkan : 28 Jul 2022 10:47AM Dikemas Kini : 28 Jul 2022 10:47AM

TONGXIANG, CHINA: "Naluri ayah" seorang lelaki berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang jatuh dari sebuah blok apartmen di timur China. 

Rakaman kejadian di bandar Tongxiang di wilayah Zhejiang yang berlaku pada Selasa (19 Jul) dikongsikan di Twitter oleh jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian. 

Pegawai tersebut menyifatkan lelaki itu sebagai seorang "wira di antara kita" dalam hantarannya yang viral dan menerima 205,000 tontonan serta 11,100 tanda suka setakat Rabu (27 Jul). 

Dalam rakaman tersebut, seorang lelaki, yang sedang membuat panggilang telefon, dilihat bergegas ke arah bangunan tersebut bersama seorang wanita.

Beberapa saat kemudian, beliau melepaskan telefonnya untuk menyelamatkan kanak-kanak yang sedang jatuh itu dengan tangannya sendiri. 

Laporan media menyatakan kanak-kanak itu jatuh dari tingkat enam blok apartmen berkenaan ke bahagian teres tingkat satu sebelum jatuh dari teres tersebut dan diselamatkan oleh lelaki bernama Shen Dong, 31 tahun. 

Encik Shen yang bekerja di bank berdekatan, sedang meletak kereta di jalan raya bertentangan apabila terdengar bunyi berdebap yang kuat daripada kompleks apartmen tersebut, menurut agensi berita China Kan Kan News. 

Beliau sedar bahawa bunyi berdebap itu adalah seorang kanak-kanak apabila kanak-kanak itu mula bergerak. 

Ayah kepada dua anak itu bergegas melintas jalan sambil menghubungi pasukan penyelamat tempatan. 

Rakan sekerjanya turut bergegas dan memekik ke arah kanak-kanak yang ketika itu berada di bahagian bumbung itu supaya berhenti bergerak. 

Namun, kanak-kanak itu tergelincir daripada bumbung, menyebabkan Encik Shen membaling telefon bimbitnya dan mencapai untuk menyelamatkan kanak-kanak itu, beberapa saat sebelum dia terkena permukaan jalan konkrit itu. 

Kanak-kanak itu dibawa ke hospital berdekatan oleh Encik Shen dan ibunya. Dia cedera pada bahagian kaki dan memerlukan jahitan serta cedera ringan pada bahagian jantungnya, namun berada dalam keadaan stabil. 

Laporan media turut menyatakan kanak-kanak itu dipercayai memanjat kerusi sebelum jatuh dari tingkap tingkat enam bangunan tersebut. 

Encik Shen memberitahu media China: "Saya kerap bersenam, jadi tangan saya tidak sakit. Saya percaya sesiapa pun akan melakukan yang sama untuk menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu. Saya hanya berada di situ pada waktu yang tepat. 

"Nama kanak-kanak itu Xinxin. Secara kebtulan, anak perempuan saya pun bernama Xinxin. Huruf Cinanya juga sama."

Media China menyifatkan Encik Shen sebagai "wira yang menyelamatkan bayi menggunakan tangannya sendiri" disebabkan pergerakannya yang pantas, yang menyelamatkan kanak-kanak itu. 

Warga net turut memujinya. 

"Wira itu sepatutnya diberikan pingat. Dan telefon baru," kata seorang warga net menerusi komen pada video YouTube yang dimuat naik media berita Hong Kong, South China Morning Post. 

"Saya pernah menyaksikan tulang orang lain retak apabila menyelamatkan seseorang. Beliau layak disifatkan sebagai seorang wira," kata lagi seorang warga net. 

Namun, sesetengah yang lain mengesyaki ketulenan video tersebut dan bertanya sama ada Encik Shen boleh menyelamatkan kanak-kanak itu dengan begitu mudah jika ia benar-benar berlaku.

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa