Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki didakwa hantar komunikasi jelik terhadap Najib Razak, Rosmah Mansor

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Rabu (21 Jul) atas pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi yang jelik terhadap mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak dan isterinya Rosmah Mansor, lapan tahun lalu.

Syed Ahmad Saifullah Hashim, 33 tahun, selaku orang kena saman (OKS) didakwa memuat naik satu kiriman berhubung "pesawat yang dinaiki isteri dan Perdama Menteri dalam perjalanan pulang dari Perth hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah” melalui aplikasi Facebook “Syed Saifullah”.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014.

Hantaran itu kemudiannya dibaca pada pukul 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di Kuala Lumpur pada 4 April 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 (S$15,622) atau kedua-duanya selain denda RM1,000 (S$312) bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 (S$3,133) dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan OKS tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial berkaitan kes tersebut.

OKS yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan dia menjaga ibu bapanya yang menghidapi penyakit kronik.

Hakim Nor Hasniah Ab Razak membenarkan OKS diikat jamin RM4,000 (S$1,253) dengan seorang penjamin serta melarangnya membuat sebarang hantaran di mana-mana media sosial berkaitan kes itu sehingga kes selesai  dan menetapkan 15 Ogos untuk sebutan semula kes.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan