Lelaki didakwa atas percubaan membunuh setelah serang pendatang China di New York
Seorang lelaki dari New York City ditangkap dan didakwa pada Selasa (27 Apr) di atas percubaan membunuh. Polis menganggap kes itu sebagai jenayah kebencian terhadap pendatang China, kata pihak berkuasa.
(Petikan skrin: Twitter/NYPD Hate Crime Task Force)
NEW YORK: Seorang lelaki dari New York City ditangkap dan didakwa pada Selasa (27 Apr) di atas percubaan membunuh. Polis menganggap kes itu sebagai jenayah kebencian terhadap pendatang China, kata pihak berkuasa.
Mangsa, yang dikenal pasti oleh polis sebagai Yao Pan Ma, 61 tahun, diserang di kejiranan East Harlem di Manhattan pada 23 April. Ia merupakan serangan terbaru menyasarkan orang Asia Amerika di Amerika Syarikat yang semakin kerap berlaku akhir-akhir ini.
Ma sedang mengumpulkan tin ketika beliau diserang dari belakang. Beliau dijatuhkan dan ditendang di kepalanya berkali-kali. Beliau dibawa ke Hospital Harlem dan masih berada dalam keadaan koma pada Selasa, kata para pegawai.
Polis mendakwa Jarrod Powell, 49, dari New York dengan dua tuduhan melakukan serangan dan satu tuduhan percubaan membunuh. Polis mengklasifikasikan serangan itu sebagai jenayah kebencian tetapi tidak memberikan banyak butiran lain.
Media tempatan, termasuk Washington Post dan majalah People melaporkan bahawa Ma berada dalam keadaan kritikal dan diletakkan dalam keadaan koma. Seorang wakil Hospital Harlem memberitahu Reuters bahawa beliau tidak dapat mendedahkan maklumat mengenai pesakit tersebut.
Majalah People melaporkan bahawa Ma ialah seorang cef pastri yang tiba di Amerika Syarikat kira-kira dua tahun lalu bersama isterinya.
Laporan baru-baru ini oleh Pusat bagi Kajian Kebencian dan Ekstremisme di California State University di San Bernardino menunjukkan bahawa jenayah terhadap orang Asia Amerika dan Kepulauan Pasifik (AAPI) melonjak 145 peratus pada 2020, walaupun jenayah kebencian secara keseluruhan di Amerika Syarikat berkurangan sedikit.
Pada Mac, tembakan rambang di tiga spa dalam Atlanta dan sekitarnya menyebabkan lapan orang mati, termasuk enam wanita Asia. Polis menyatakan bahawa pihaknya belum mengetepikan dakwaan jenayah kebencian ke atas suspek.
Ramai warga Amerika Syarikat menyalahkan orang Asia sebagai punca COVID-19, yang pertama kali dikenal pasti di Wuhan, China pada lewat 2019. Bekas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah berulang kali merujuk COVID-19 sebagai "virus China" dan "kung flu", yang dilihat oleh sebahagian pihak sebagai mengapi-apikan sentimen anti-Asia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.