Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki Cina di Malaysia besarkan tiga beradik Islam diberi Anugerah Maulidur Rasul

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Cina di Malaysia besarkan tiga beradik Islam diberi Anugerah Maulidur Rasul

(Gambar: Facebook/Sultan Ibrahim Sultan Iskandar)

PUTRAJAYA: Tidak pernah terlintas untuk menjadi bapa kepada tiga anak lelaki berlainan bangsa dan agama, namun takdir mengubah hidup Michael Tong Wai Siong, 55 tahun.

Michael atau lebih mesra dengan panggilan 'Uncle Mike' berkata, minatnya yang mendalam kepada kerja kebajikan dan kerap mengikuti program rumah amal melalui kelab kereta yang disertai menemukan dirinya dengan tiga anak lelaki Melayu itu.

Atas sikap murninya yang ditunjukkan dan membuktikan nilai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama itu, ahli perniagaan berkenaan diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di Putrajaya pada Isnin (16 Sep) lapor Sinar Harian.

Lebih manis lagi, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepadanya yang menjadi satu-satunya penerima berbangsa Cina menerima penghargaan pada hari istimewa bagi masyarakat Islam itu.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ini, terharu dan gembira bercampur baur. Tidak pernah sangka saya dari keluarga yang biasa ini dapat penghargaan sebegini rupa.

"Penghargaan ini memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus melakukan kebajikan dan tolong lebih ramai yang memerlukan," katanya kepada Sinar Harian

Menceritakan semula bagaimana bermula kisahnya mengambil tiga anak angkat berkenaan, ia bermula dengan pertemuan dengan seorang kanak-kanak Melayu yatim piatu lebih 16 tahun lalu di sebuah rumah anak yatim.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya mengambil Rafei Ahmad Fauzi tinggal bersamanya, yang pertama kali ditemui ketika berusia 12 tahun di rumah anak yatim di Gombak, Selangor.

Bagaimanapun, tidak sanggup melihat dua lagi adik Rafei bersedih kerana terpaksa berpisah, Michael memilih untuk menjaga ketiga-tiga mereka.

Kini, Rafei, 29 tahun, dan dua lagi adiknya, Rasyid, 28 tahun, dan Abdul Rahman, 24 tahun, sudah hampir 16 tahun bersamanya dan kasih sayang terhadap mereka tidak pernah pudar meskipun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut terbuka menerima ketiga-tiga anak angkat saya ini.

"Malah, keluarga juga menasihatkan saya menjaga mereka dengan baik. Sebenarnya ini rahsia yang saya simpan sejak 16 tahun lalu dan tidak ramai tahu," katanya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan