Lelaki China lapor penularan awal COVID-19 dijangka dibebaskan dari penjara selepas 3 tahun
HONG KONG: Pihak berkuasa China pada Sabtu (30 Apr) sedang membuat persiapan untuk membebaskan seorang lelaki yang hilang tiga tahun lalu selepas menerbitkan video-video memaparkan hospital penuh sesak dan mayat sewaktu penularan COVID-19.
Demikian menurut salah seorang saudara-mara lelaki itu dan seorang lagi individu yang berpengetahuan tentang kes tersebut.
Fang Bin dan anggota masyarakat lain yang diberi jolokan 'wartawan rakyat' memuat naik maklumat mengenai pandemik tersebut ke internet dan lelaman media sosial pada awal 2020, sekali gus memalukan para pegawai China yang dikecam hebat kerana gagal membendung penularan wabak itu.
Video terakhir Fang, seorang penjual pakaian tradisional Cina, yang dimuat naik ke Twitter adalah sekeping kertas yang berbunyi: "Semua rakyat membantah, kembalikan kuasa kepada rakyat."
Kes Fang adalah sebahagian daripada tindakan keras Beijing terhadap kecaman ke atas pengurusan awal pandemik, sedang Parti Komunis yang memerintah berusaha untuk mengawal naratif negara tersebut.
Fang dijadual dibebaskan pada Ahad, menurut dua individu yang tidak mendedahkan identiti mereka kerana khuatir akan dikenakan tindakan oleh pemerintah.
Salah seorang daripada mereka berkata, Fang dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun kerana "bergaduh dan menimbulkan onar", satu tuduhan samar-samar yang biasanya digunakan terhadap penentang politik.
Associated Press (AP) bagaimanapun tidak dapat mengesahkan pembebasannya dan ia juga tidak berupaya mengesahkan kesahihan maklumat itu dengan pihak berkuasa.
Dua pejabat biro keselamatan awam Wuhan tidak memberikan nombor telefon pejabat maklumat mereka atau menjawab sebarang soalan.
Panggilan telefon ke mahkamah yang dipercayai menjatuhkan hukuman terhadap Fang, tidak dijawab pada petang Ahad.
Seorang wanita dari sebuah lagi mahkamah yang dipercayai menguruskan rayuan Fang berkata, beliau tidak dibenarkan untuk menjawab pertanyaan.
Pada awal 2020, penularan awal COVID-19 dikesan di bandar Wuhan di wilayah Hubei, China yang menempatkan 11 juta penduduk. Di bawah perintah berkurung selama 76 hari, jalan raya ;lengang selama berbulan-bulan, kecuali ambulans dan kakitangan keselamatan.
Pada waktu itu, segelintir wartawan rakyat cuba mengeluarkan berita menggunakan telefon bijak dan akaun media sosial, sekali gus menentang monopoli maklumat Parti Komunis yang dikawal ketat.
Fang dan seorang lagi wartawan rakyat, Chen Qiushi, dilaporkan hilang pada Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.