Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki bunuh ibu; 3 tahun simpan jasad dalam peti sejuk beku

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Polis menemui mayat seorang wanita yang disimpan dalam peti sejuk beku selepas dipercayai dibunuh anaknya di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama, hari ini (12 Nov).

Mangsa, seorang wanita berusia 80-an itu dipercayai dibunuh anak lelaki berusia 50-an tahun pada Mac 2021.

Awal dari itu, anak lelaki mangsa yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis sebelum memaklumkan kejadian itu, menurut BH Online.

Sumber berkata, berdasarkan maklumat awal, suspek turut berada bersebelahan peti sejuk beku berkenaan ketika polis tiba di lokasi kejadian.

Menurut sumber, anak mangsa yang juga suspek, memaklumkan kepada polis dia membunuh ibunya pada 2021 sebelum menyimpannya dalam dalam peti sejuk beku.

KALI TERAKHIR JIRAN NAMPAK MANGSA SEBELUM PKP

BH Online juga melaporkan kali terakhir jiran melihat wanita warga emas yang dipercayai dibunuh anak lelakinya itu adalah sebelum kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lelaki berusia 30-an yang tidak mahu identitinya didedahkan, berkata dia berasa terkejut apabila melihat kehadiran pasukan polis di rumah itu pagi tadi sebelum dimaklumkan mengenai penemuan mayat mangsa.

Menurutnya, mangsa tidak tinggal di rumah yang didiami anak lelakinya yang masih bujang dan tinggal bersendirian itu dan hanya datang sesekali untuk melawat.

"Sebelum ini memang saya pernah nampak wanita itu datang ke rumah anaknya di sini tapi sejak PKP, saya tak jumpa dia lagi. Saya cuma fikir mungkin dia tidak lagi datang melawat anaknya.

"Jiran saya pula memang jarang keluar dan pintu rumahnya juga sentiasa tertutup namun saya tidak pernah mengesyaki apa-apa atau melihat sebarang kelakuan pelik," katanya kepada BH Online.

Tambahnya, jirannya yang juga suspek itu kerap menegur dan bertanya khabar sekiranya mereka terserempak di luar rumah.

SUSPEK DIPERCAYAI TUMBUK IBU HINGGA MATI

Dalam nukilan laporan BH Online, perselisihan faham mengenai isu agama dipercayai menjadi punca lelaki terbabit tergamak membunuh ibunya sebelum mayatnya disumbat dalam peti sejuk beku.

Suspek dipercayai menumbuk ibunya sehingga mati sebelum mayat warga emas itu dibalut dengan tuala dan kain kemudian disumbat dalam peti sejuk beku.

"Mangsa dipercayai ditumbuk hingga mati sebelum dibalut dengan tuala dan plastik dan disorok dalam peti sejuk beku.

"Suspek yang berusia 50-an dipercayai membunuh ibu kandungnya yang berusia 80-an kerana mahu wanita itu 'masuk syurga'.

"Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik," kata sumber.

Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan kerana tidak sihat sebelum membongkar rahsia mengenai keberadaan mayat ibunya.

Susulan itu, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menahan suspek.

Menurut sumber lagi, mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan suspek turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Difahamkan, suspek akan direman esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa mengesahkan kejadian dan polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
 
Sumber : Agensi berita/IM/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan