Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki bukan Islam ditampar gara-gara makan ketika Ramadan; Menteri Perpaduan Malaysia selar tindakan provokasi

Kejadian di mana seorang lelaki bukan beragama Islam diherdik dan ditampar oleh seorang individu semasa makan di kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru ketika Ramadan, disifatkan sebagai tindakan provokasi.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki bukan Islam ditampar gara-gara makan ketika Ramadan; Menteri Perpaduan Malaysia selar tindakan provokasi

Petikan skrin rakaman video kejadian yang berlaku di Angsana Mall, Johor Bahru. (Gambar: X/@bingbinge656)

Diterbitkan : 18 Mar 2025 03:03PM Dikemas Kini : 18 Mar 2025 03:09PM
JOHOR BAHRU: Kejadian di mana seorang lelaki bukan beragama Islam diherdik dan ditampar oleh seorang individu semasa makan di kedai serbaneka di pusat beli-belah di Johor Bahru ketika Ramadan, disifatkan sebagai tindakan provokasi.

Tindakan tersebut juga dikatakan tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam Malaysia yang berbilang kaum.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata tindakan itu harus dihentikan serta-merta dan tidak dibenarkan berkembang di Malaysia.

"Saya juga mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum. 

"Saya berharap semua rakyat Malaysia beradab dalam berinteraksi antara rakyat Malaysia dan seharusnya sentiasa saling menghormati budaya serta mengamalkan nilai Faham, Hormat dan Terima," katanya menerusi satu catatan di platform X. 

Encik Aaron turut mengatakan bahawa isu yang menyentuh soal perpaduan tidak boleh dipandang remeh dan semua pihak tidak seharusnya membiarkan sebarang kejadian yang dapat meruntuhkan keharmonian rakyat Malaysia.

Kata beliau, "Negara ini hanya akan maju jika kita bersatu, saling menghormati dan hidup dalam keadaan aman tanpa sebarang bentuk ketegangan kaum atau agama."

Encik Aaron memaklumkan bahawa mangsa kejadian itu, yang dikenali sebagai Encik Elijah, telah membuat aduan di Balai Polis Tampoi.

"Saya berharap semua pihak memberi kerjasama dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan," kata beliau. 

Sementara itu, Encik Elijah dalam catatan menerusi akaun X @bingbinge656 berkata dia telah menjelaskan dirinya bukan beragama Islam ketika diherdik, bagaimanapun lelaki itu memintanya untuk menunjukkan kad pengenalan sebagai bukti. 

Encik Elijah mendakwa turut ditampar lelaki itu, sebelum anak kepada individu berkenaan menenangkan keadaan dan meminta maaf atas kelakuan bapanya. 

Kejadian itu juga tular di media sosial pada Ahad (16 Mac).

Dalam pada itu, polis telah membuka kertas siasatan berkenaan kejadian tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh, pihaknya menerima laporan daripada pengadu berusia 21 tahun berhubung kejadian itu pada Ahad, pukul 9.08 malam.

"Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3.45 petang semalam. Dalam insiden itu, pengadu mendakwa dirinya telah ditampar sebanyak dua kali pada pipi sebelah kanan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

"Kejadian dipercayai berpunca apabila lelaki tersebut bertanya tentang agama pengadu dan meminta MyKadnya namun pengadu enggan memberikan kad tersebut," kata Encik Balveer dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan