Lelaki bersenjatakan kapak diberkas; cuba masuk pesawat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi
(Gambar: Agensi berita)
BANGKOK: Polis Thailand memberkas seorang lelaki, yang dipercayai di bawah pengaruh dadah, atas kesalahan menceroboh kawasan larangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan cuba menaiki pesawat kosong.
Menurut pengarah lapangan terbang tersebut, Kittiphong Kittikhajorn, seorang lelaki yang berusia 34 tahun menunggang motosikal untuk memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 11.50 pagi Selasa (3 Mei).
Beliau selanjutnya mengatakan bahawa para pengawal keselamatan lapangan terbang berkenaan dimaklumkan tentang kejadian itu dan mengawasi pergerakan lelaki tersebut menerusi kamera litar tertutup (CCTV).
"Lelaki itu cuba menaiki pesawat yang para penumpangnya baru turun.
"Lelaki yang bersenjatakan sebilah kapak itu diberkas pada 12.03 tengah hari ketika dia cuba memasuki bangunan penumpang," kata Encik Kittipong semasa sidang media pada Rabu (4 Mei).
Encik Kittipong turut memberi jaminan bahawa kejadian itu tidak menjejas khidmat lapangan terbang tersebut.
"Para pengawal keselamatan telah melakukan segalanya untuk mematuhi langkah-langkah operasi standard demi menjaga keselamatan semua penumpang," katanya.
Lelaki itu mengalami cedera ringan dan ditahan di balai polis Suvarnabhumi.
Replika senapang, sepasang gunting, sebilah kapak dan sebutir pil methamphetamine dalam sebuah kotak plastik ditemui pada lelaki tersebut.
Menurut Ketua Polis Suvarnabhumi Kolonel Jirawat Piempinsreth, pihak polis sudah mengenakan lapan tuduhan terhadap lelaki berkenaan termasuk tuduhan menceroboh kawasan larangan di lapangan terbang, memusnahkan harta benda lapangan terbang, membawa senjata di khalayak ramai tanpa sebab yang munasabah serta memiliki dan menghisap dadah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.