Skip to main content

Dunia

Lelaki bersenjata pisau di stesen tren Perancis ditembak polis; 1 orang awam turut tercedera

Polis Perancis menembak dan mencederakan seorang lelaki bersenjatakan pisau di stesen tren Montparnasse pada Jumaat (14 Nov), dalam satu kejadian yang mencetuskan keadaan cemas buat seketika dalam kalangan penumpang sehari selepas Perancis memperingati ulang tahun ke-10 serangan Paris 2015.
Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki bersenjata pisau di stesen tren Perancis ditembak polis; 1 orang awam turut tercedera
Para penumpang menunggu di luar stesen tren Gare Montparnasse di Paris, Perancis, pada 14 November 2025. (Gambar: REUTERS/Gonzalo Fuentes)
PARIS: Polis Perancis menembak dan mencederakan seorang lelaki bersenjatakan pisau di stesen tren Montparnasse pada Jumaat (14 Nov), dalam satu kejadian yang mencetuskan keadaan cemas buat seketika dalam kalangan penumpang sehari selepas Perancis memperingati ulang tahun ke-10 serangan Paris 2015.

Pejabat pendakwa Paris menyatakan seorang lelaki berusia 34 tahun ditembak pada bahagian kaki selepas dia melambaikan pisau ke arah para pegawai yang sedang menunggunya sebagai sebahagian daripada siasatan keganasan rumah tangga. Selepas ditembak, lelaki itu menikam dirinya di bahagian leher sebelum pasukan perubatan kecemasan campur tangan.

Seorang pejalan kaki turut terkena tembakan polis pada bahagian kaki, menurut pejabat pendakwa tersebut.

SIASATAN KEGANASAN RUMAH TANGGA

Lelaki itu sebelum ini menerima hukuman penjara 18 bulan yang digantung pada September atas beberapa kesalahan keganasan rumah tangga. Para pegawai dari sebuah kawasan pinggir di selatan Paris menunggu ketibaannya di stesen Montparnasse sebagai sebahagian daripada siasatan tersebut.

Seorang jurugambar Reuters yang berada di tempat kejadian berkata tembakan itu mencetuskan keadaan cemas dalam kalangan penumpang yang sedang bersiap sedia untuk melakukan perjalanan hujung minggu. Seorang penumpang berkata kenangan serangan 2015 terbayang kembali apabila orang ramai berlari untuk berlindung.

“Kenangan serangan pada 13 November masih ada. Saya terfikir, ia berlaku lagi. Tiba-tiba saya terasa amat tertekan,” kata penumpang Elvire Vaisse.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita