Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki berkerusi roda terjatuh dari tangga bergerak stesen kereta api

Seorang lelaki berkerusi roda maut selepas terjatuh dari tangga bergerak sebuah stesen kereta api.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki berkerusi roda terjatuh dari tangga bergerak stesen kereta api

Stesen kereta api di mana berlakunya kemalangan. (Gambar: erin921/Instagram)

Diterbitkan : 12 Oct 2018 07:32PM Dikemas Kini : 12 Oct 2018 07:42PM

WASHINGTON: Seorang lelaki berkerusi roda maut selepas terjatuh dari tangga bergerak sebuah stesen kereta api.

Jurucakap pengendali kereta api, Cik Sherri Ly, mengatakan bahawa lelaki berkerusi roda itu hampir sampai ke aras atas di hujung tangga bergerak apabila kerusi rodanya tiba-tiba tergeluncur sehingga beliau jatuh tergolek bersama kerusi rodanya dari tangga bergerak.

Menurut Washington Post, lelaki tersebut kemudian ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan cedera parah. Meskipun sempat dikejarkan ke hospital, namun beliau meninggal dunia tidak lama kemudian.

Cik Ly mengatakan pihaknya tidak akan mendedahkan nama lelaki tersebut sehingga syarikat itu menerima kelulusan pihak keluarganya. Usia lelaki tersebut juga tidak diketahui.

Lif di stesen itu beroperasi seperti biasa pada waktu kejadian, kata Cik Ly.

"Rakaman CCTV menunjukkan beliau menunggu lif antara 10 hingga 15 saat sebelum menuju ke arah tangga bergerak," dedah Cik Ly kepada Washington Post.

Rakaman video insiden itu juga tidak disebarkan.

"Beberapa orang yang berada di tempat kejadian dan pengurus stesen segera mencuba untuk membantunya sementara menunggu ketibaan pasukan paramedik," tambahnya. "Beliau dikejarkan ke hospital di mana beliau disahkan meninggal dunia."

Sebagai salah satu sistem pengangkutan utama di negara itu, Metro dianggap mesra pengguna bagi semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang kurang upaya. Sebabnya, ia antara kemudahan yang baru dibina berbanding stesen-stesen di New York atau Boston - yang sudah usang. Stesen-stesen Metro juga dilengkapi dengan lif-lif yang membolehkan para penumpang yang berkerusi roda untuk bergerak dengan mudah.

Menurut laporan terkini dari pengendali pengangkutan itu, lif-lif didapati hampir sentiasa tersedia bagi mereka sepanjang tahun kewangan antara Julai 2017 hingga Jun 2018.

Namun, para penumpang yang kurang upaya mendakwa laporan itu tidak tepat dalam mencerminkan pengalaman mereka. Menurut maklum balas yang dikumpul, mereka seringkali mendapati lif rosak sehingga berasa terdesak.

Ada juga yang menyuarakan keprihatinan mereka di platform-platform media sosial menyusuli insiden lelaki yang maut.

"Mungkin lelaki itu sudah terbiasa dengan masalah lif rosak dan menganggap perkara yang sama pada hari itu," tulis pengguna Twitter, Anthony LaMesa.

Insiden serupa pernah berlaku di Boston pada 2012, ketika seorang wanita berkerusi roda cuba menaiki tangga bergerak. Namun, percubaannya membuat beliau terjatuh. Mujur, wanita berkenaan dibantu para penumpang di tempat kejadian dan seorang kakitangan stesen yang segera menghentikan tangga bergerak itu.

Mujur beliau tidak cedera parah, lapor Boston Globe.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan