Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lelaki 70 tahun berjaya ditarik keluar dari runtuhan 33 jam selepas gempa Turki

Pasukan penyelamat meneruskan pencarian di lapan bangunan yang musnah di Izmir biarpun peluang tipis untuk menemui mangsa yang terselamat selepas kematian akibat gempa kuat di barat Turki meningkat kepada 51 orang.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 70 tahun berjaya ditarik keluar dari runtuhan 33 jam selepas gempa Turki

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 01 Nov 2020 09:24PM Dikemas Kini : 01 Nov 2020 09:32PM

BAYRAKLI: Pasukan penyelamat meneruskan pencarian di lapan bangunan yang musnah di Izmir biarpun peluang tipis untuk menemui mangsa yang terselamat selepas kematian akibat gempa kuat di barat Turki meningkat kepada 51 orang.

Gempa sekuat 7 pada skala Richter itu mencederakan 896 orang, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) Turki, selepas gegaran petang kelmarin berhampiran bandar pantai barat Seferihisar di wilayah Izmir.

Naib Presiden, Fuat Oktay, berkata jumlah kematian meningkat dua kepada 51 orang ketika lawatannya ke Izmir manakala hampir 300 bangunan mengalami kerosakan biarpun kebanyakannya hanya kerosakan kecil.

Semalam, 33 jam selepas gempa itu, seorang lelaki berusia 70 tahun berjaya ditarik keluar dari runtuhan dan dibawa ke hospital.

Bandar Turki yang paling teruk terjejas adalah Bayrakli, di mana keluarga yang masih trauma dengan tragedi itu memakai selimut tebal dan menghabiskan masa berlindung di khemah.

Sebahagiannya memerhatikan dengan gelisah ketika pasukan penyelamat menyelongkar serpihan runtuhan untuk hari kedua.

Ada juga menyatakan kebimbangan bahawa harapan untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat semakin pudar.

Namun, seorang anggota penyelamat di tapak sebuah bangunan yang runtuh memberitahu AFP bahawa mereka percaya sekurang-kurangnya 10 mangsa masih berada di bawah runtuhan.

Hampir 6,000 anggota penyelamat bekerja siang dan malam sejak Jumaat, dibantu jentera penggali untuk mengalihkan bongkah konkrit.

Ribuan khemah didirikan sejak arahan dikeluarkan yang meminta supaya penduduk elak kembali ke rumah mereka.

Turki melaporkan lebih 800 gempa susulan berlaku selepas gempa pertama, termasuk 40 gegaran berukuran empat pada skala Richter.

Dua remaja dalam perjalanan pulang dari sekolah juga dilaporkan terbunuh di Greece, berikutan gempa yang menyebabkan tsunami kecil di pulau Samos dan air dari laut melimpah menjadikan jalan seperti sungai.

Sumber : AFP/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan