Skip to main content

Dunia

Lelaki 57 tahun diberkas polis; disyaki liwat anak lelaki jiran lebih 20 kali

Polis menahan seorang lelaki kerana meliwat anak jirannya lebih 20 kali apabila dia membawa kanak-kanak lelaki tersebut keluar berjalan-jalan termasuk bermalam di sebuah hotel bajet di Butterworth, Pulau Pinang, sejak bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 57 tahun diberkas polis; disyaki liwat anak lelaki jiran lebih 20 kali

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 20 Apr 2020 11:37PM Dikemas Kini : 20 Apr 2020 11:44PM

BUTTERWORTH: Polis menahan seorang lelaki kerana meliwat anak jirannya lebih 20 kali apabila dia membawa kanak-kanak lelaki tersebut keluar berjalan-jalan termasuk bermalam di sebuah hotel bajet di Butterworth, Pulau Pinang, sejak bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun yang memaklumkan anak lelakinya, berumur lapan tahun, mengadu sakit dan pedih di bahagian duburnya setiap kali keluar dengan suspek berusia 57 tahun itu.

"Wanita itu membuat laporan polis pada 28 Mac lalu dan menurut ibu murid Tahun Dua berkenaan, lelaki tersebut telah beberapa kali membawa mangsa keluar bersiar-siar dengan pengetahuannya termasuk terbaru pada 17 Mac lepas membawanya (kanak-kanak lelaki) tidur di sebuah hotel bajet.

"Anaknya juga beberapa kali mengadu bahagian dubur terasa sakit dan pedih. Wanita itu membuat laporan polis selepas mengesyaki ada yang tidak kena berdasarkan apa yang diceritakan kanak-kanak tersebut," kata ACP Noorzainy.

Beliau menambah polis sudahpun membawa mangsa mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor mendapati kanak-kanak itu telah diliwat. Suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut ACP Noorzainy, polis sudahpun melengkapkan kertas siasatan dan pihak Timbalan Pendakwa Raya bersetuju untuk mendakwa lelaki yang belum berkahwin serta tidak bekerja itu di Mahkamah Butterworth pada Selasa (21 Apr) dengan 23 pertuduhan meliwat.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita