Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Legenda Tun Fatimah dibawa ke layar digital

Anggaran Waktu Membaca:
Legenda Tun Fatimah dibawa ke layar digital

Gambar: Astro Awani

Diterbitkan : 13 Sep 2022 08:13PM Dikemas Kini : 13 Sep 2022 08:14PM
KUALA LUMPUR: Menyedari bahawa sejarah silam kegemilangan Malaysia perlu diketengahkan ke peringkat global, bzBee Consult Sdn Bhd, sebuah agensi komunikasi strategik bersepadu dan penciptaan kandungan, merintis usaha baru dalam dunia penerbitan.

Dengan sokongan Geran DC3+ daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), bzBee berhasrat membawa naskhah srikandi Melayu, Tun Fatimah, ke layar digital, lapor Astro Awani.

Berdasarkan kajian dan penelitian mendalam, bzBee memberikan penekanan kepada adat, kesopanan dan nilai masa lampau yang kaya melalui kisah-kisah srikandi, wira, warisan dan sejarah Malaysia dalam projek penerbitan 'Tun Fatimah: The Rebel Queen' ke layar digital.

Dalam karya itu kelak, kata bzBee, ketangkasan tokoh penting dalam meneruskan riwayat Melaka selepas pencerobohan Portugis pada awal abad ke-16 akan menjadi teras penceritaan.

Menurut pengasas dan Pengarah Urusan bzBee, Prof Mohd Said Bani CM Din, adalah menjadi aspirasi syarikat berkenaan untuk mengetengahkan kisah legenda ke persada antarabangsa.

Katanya, sudah sampai masanya untuk Malaysia mempamerkan pelbagai kisah hikayat tempatan untuk ditonton masyarakat dunia.

“Tun Fatimah: The Rebel Queen adalah penceritaan penting untuk memberi kesedaran serta memelihara warisan hikayat,” kata Mohd Said Bani dalam kenyataan media yang dikeluarkannya, menurut Astro Awani.

Menurut beliau, naskhah berkenaan diadaptasi daripada novel ‘Kirana - Dream After The Rose’ yang dihasilkan Ketua Pegawai Operasi bzBee, Encik Ninot Aziz.

Bertitik tolak daripada novel berkenaan, bzBee, kata Mohd Said Bani, mengambil pendekatan berlainan dalam menceritakan kisah Tun Fatimah, Ratu Melaka terakhir pada abad ke-16, dan Melaka hari ini, selain menghasilkan filem ‘pecah panggung’.

Sementara itu, Encik Ninot berkata, naskhah Tun Fatimah: The Rebel Queen memperkasa seorang tokoh wanita yang tabah dalam sejarah Malaysia dan menonjolkan nilai, budaya dan warisan Melaka pada abad ke-16.

“Sebagai pencerita, peluang untuk meneroka bidang digital dalam bentuk imej janaan komputer (CGI) merupakan pengalaman yang amat unik.

“Hikayat, legenda dan cerita rakyat menjadi penyimpan khazanah pelbagai ilmu yang terdiri daripada tadbir urus, protokol, diplomasi, seni bina, pembinaan kapal, persenjataan dan tekstil kepada amalan perubatan, kesusasteraan, hiburan, muzik, tarian, kebijaksanaan dan pemikiran kreatif – bukti bahawa masyarakat lama kita mempunyai idea dan kreativiti berkonsepkan ilmiah yang tinggi,” kata Encik Ninot, seperti dinukil Astro Awani.

Encik Mohd Said Bani bersama Cik Azlina Merican sebagai Penerbit Eksekutif dan Encik Ninot, menggarap idea ini selama lebih tiga tahun sebagai sebahagian daripada usaha, cinta dan kepercayaan bzBee terhadap kepentingan budaya dan warisan.

Menurut Mohd Said Bani, rancangan ini akhirnya tercapai dengan sokongan geran daripada MDEC.

Filem pendek Tun Fatimah: The Rebel Queen adalah hasil kerjasama bzBee bersama Nur Hussein dari Langit Terang Productions.

Karya itu akan diterajui sutradara ternama, Encik Bade Hj Azmi sementara skrip adalah hasil gabungan kreativiti Mohd Said Bani, Encik Ninot dan penulis skrip, Cik Nadia Khan yang memperhalusi keindahan bahasa Melayu pada abad ke-16.

“Komponen unik dalam penceritaan filem ini ialah penggunaan CGI untuk gambaran idealistik dunia Melaka abad ke-16.

"Geran DC3+ yang dianugerahkan oleh MDEC menggalakkan penciptaan kandungan digital dan memainkan peranan penting dalam menyokong penggunaan CGI dalam penerbitan filem,” jelas Encik Mohd Said Bani.

Pelakon utama filem ini ialah Cik Yna Rose Noah yang memegang watak sebagai Tun Fatimah, yang baru-baru ini memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Antarabangsa Eropah Timur untuk watak Kirana dalam filem 'Showtime 1958'.

Sementara itu, barisan pelakon lain ialah Encik Naim Shamsol sebagai Nadim, Encik Niezam Zaidi (Sultan Mahmud Shah) dan Encik Jimmy Leong (Uncle Wong).

Harapan Mohd Said Bani bagi penerbitan karya Tun Fatimah: The Rebel Queen akan menggalakkan penghayatan masyarakat yang lebih mendalam terhadap hikayat, dengan menggunakan kandungan digital, untuk mencipta dunia zaman silam.
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan