Skip to main content

Dunia

Legenda fesyen, Valentino Garavani, meninggal dunia pada usia 93 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Legenda fesyen, Valentino Garavani, meninggal dunia pada usia 93 tahun
Pereka fesyen tersohor Valentino Garavani. (Gambar: AP/Alessandra Tarantino)
Diterbitkan : 20 Jan 2026 07:53AM Dikemas Kini : 20 Jan 2026 07:55AM
ROM: Industri fesyen antarabangsa kehilangan seorang tokoh masyhur, Valentino Garavani, yang dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Rom pada Isnin (19 Jan).

Mendiang yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 93 tahun dikenali sebagai pereka yang mendefinisikan kemewahan dan keanggunan selama hampir separuh abad.

LEGASI "VALENTINO RED" & KEANGGUNAN KLASIK

Mendiang mula mencipta nama sejak tahun 1960-an dan menjadi sinonim dengan warna merah ikonik ciptaannya yang dikenali sebagai "Valentino Red". Sepanjang kerjayanya, Valentino menjadi pilihan utama kerabat diraja, wanita pertama, dan bintang filem ternama seperti Jackie Kennedy, Julia Roberts, dan Puteri Diana.

Falsafah rekaan beliau sentiasa berpaksikan kecantikan wanita yang mutlak. Beliau sering menggunakan perincian feminin seperti renda, sulaman, dan reben yang teliti dalam setiap gaun mewahnya. Baginya, setiap wanita harus sentiasa tampil sempurna dan mempesonakan.

KEHIDUPAN VALENTINO

Dilahirkan di Voghera, Itali pada tahun 1932, minat Valentino kepada fesyen bermula daripada cintanya terhadap dunia perfileman. Selepas menimba ilmu di Milan dan Paris, beliau mengasaskan jenama Valentino pada tahun 1959 bersama rakan perniagaan setianya, Giancarlo Giammetti.

Selain bakatnya dalam bidang rekaan, Valentino juga dikenali dengan gaya hidup mewah yang serba eksklusif, memiliki koleksi seni yang tidak ternilai serta kediaman mewah di serata dunia.

Beliau bersara daripada dunia fesyen secara rasmi pada tahun 2008, namun pengaruhnya kekal sebagai inspirasi kepada generasi pereka baharu.

Yayasan Valentino mengumumkan bahawa mayat mendiang akan ditempatkan di ibu pejabat yayasan tersebut di Rom pada Rabu dan Khamis bagi membolehkan orang ramai memberikan penghormatan terakhir.

Upacara persemadian mendiang dijadualkan berlangsung pada Jumaat di Basilica Santa Maria degli Angeli e dei Martiri, Rom.
Sumber : AP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita