Skip to main content

Dunia

Lebih sejuta pelancong tiba di M'sia sejak 1 April

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih sejuta pelancong tiba di M'sia sejak 1 April

Gambar: Mohd Rasfan/AFP

Diterbitkan : 04 Jun 2022 09:38PM Dikemas Kini : 04 Jun 2022 09:40PM
SHAH ALAM: Lebih sejuta pelancong tiba di Malaysia iaitu melebihi separuh daripada sasaran dua juta pelancong antarabangsa yang ditetapkan kerajaan pada tahun ini, sejak pembukaan semula sempadan pada 1 April lalu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata sebahagian besar daripada jumlah itu adalah dari Singapura dan dijangkakan lebih ramai lagi pelancong terutamanya dari Jepun, Iran dan Korea akan datang ke Malaysia.

“Pada dua bulan lepas kita sudah menerima kira-kira 600,000 pelancong dari Singapura dan saya rasa kini sudah melebihi satu juta, untuk negara itu sahaja.

“Bagi pelancong negara lain, kita belum dapat memberi jumlah yang tepat kerana masih menunggu maklum balas pihak yang berkenaan, tetapi memadai untuk dikatakan kita sudah mencapai lebih separuh daripada apa yang disasarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Livery Pesawat Firefly Airlines dan Kempen #Gojalanlah di Shah Alam, hari ini (4 Jun).

Menurutnya prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ‘mesra pelancong’ juga diyakini mampu menjadi daya tarikan bagi kedatangan lebih ramai pengunjung luar negara ke Malaysia.

“Orang seronok dengan SOP kita yang tidak mewajibkan kuarantin, ujian pengesanan COVID-19 dan insurans, sebaliknya terpulang kepada pelancong untuk berbuat demikian,” kata beliau.

Bagaimanapun, menurutnya industri pelancongan negara masih berhadapan dengan masalah kekurangan pekerja impak daripada wabak COVID-19, termasuk terdapat pekerja hotel takut untuk kembali bekerja kerana ketidaktentuan industri itu yang mungkin ditutup semula.

Dalam pada itu, Cik Nancy berkata pihaknya masih belum menerima pengesahan mana-mana hotel yang terpaksa ditutup kesan daripada COVID-19, namun beliau dimaklumkan sesetengah hotel ditutup sementara untuk kerja pengubahsuaian dan ada yang diguna semula untuk tujuan lain.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita