Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih sebulan hilang ketika tunai umrah, keluarga teruskan usaha cari Musthafa Kamal Abdullah

Walaupun telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49 tahun, tetap diteruskan oleh keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:

BATU PAHAT: Walaupun telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49 tahun, tetap diteruskan oleh keluarganya.

Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26 tahun, berkata dia sendiri akan berangkat ke Makkah pada Jumaat ini (20 Jan) dan akan berada di Tanah Suci selama kira-kira 14 hari.

Nabil yang akan ditemani oleh adiknya, Muaz, 17 tahun, dan beberapa rakan ayahnya itu akan terus mencari kerana mereka sekeluarga termasuk ibunya, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49 tahun, yakin yang ayahnya masih lagi hidup.

“Saya sendiri akan mengedarkan poster yang memaparkan wajah babah apabila berada di Makkah nanti setelah selesai mengerjakan umrah dan berharap dengan usaha ini, ia akan membuahkan hasil dengan ayah berjaya dijumpai nanti.

“Saya turut berharap usaha dan harapan saya sekeluarga untuk menemukan babah akan terus mendapat kerjasama daripada kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan di kediaman guru berkenaan di Sri Gading pada Ahad(15 Jan).

Jelas Muhammad Nabil lagi, dia bersama keluarga turut berikhtiar dengan merujuk beberapa pengamal perubatan Islam, serta tidak putus-putus mengadakan solat hajat.

Sementara itu, Muaz yang bersama Musthafa Kamal  mengerjakan umrah ketika itu berkata ayahnya disedari hilang apabila tiada di bilik hotel setelah menyatakan dirinya tidak sihat dan tidak keluar untuk mengerjakan tawaf bersama.

Muaz berkata pada mulanya dia tidak bimbang kerana ayahnya fasih berbahasa Arab dan beranggapan melakukan tawaf sendirian, namun mulai risau apabila tersebar gambar ayahnya yang memakai ihram di dalam kenderaan dipercayai ambulans melalui aplikasi WhatsApp.

“Mutawif kemudiannya pergi ke hospital untuk mencari babah tetapi diberitahu yang babah telah keluar dan telah dihantar pulang ke hotel, tetapi ketika semakan di hotel mendapati dia tiada di premis itu. Namun pada hari ketiga kehilangan babah, beg silang kepunyaannya dipulangkan ke hotel,” katanya.

Pada Jumaat lalu (13 Jan), Menteri Luar Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan Musthafa Kamal yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan