Skip to main content

Dunia

Lebih RM6 juta produk kesihatan tidak berdaftar dirampas di M'sia

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) merampas ubat kuat tidak berdaftar bernilai RM5.8 juta (S$1.8 juta) menerusi serbuan di 666 premis di seluruh negara sejak 2019 hingga bulan ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih RM6 juta produk kesihatan tidak berdaftar dirampas di M'sia

Gambar hiasan pil ubat (Gambar: REUTERS/Lucas Jackson)

Diterbitkan : 10 Nov 2021 06:57PM Dikemas Kini : 10 Nov 2021 07:01PM

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM) merampas ubat kuat tidak berdaftar bernilai RM5.8 juta (S$1.8 juta) menerusi serbuan di 666 premis di seluruh negara sejak 2019 hingga bulan ini.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM Norhaliza A Halim berkata bagi tempoh yang sama juga, sebanyak 187 premis yang menjual suntikan vitamin C diserbu dengan nilai rampasan berjumlah RM278,202 (S$90,353).

“Pihak KKM giat menjalankan pemeriksaan dan operasi serbuan secara berterusan terutamanya di lokasi hot spot yang dikenal pasti di seluruh negara bagi mengekang penjualan produk kesihatan tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C.

“Sejak 2019 hingga November 2021, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM telah menerima sebanyak 362 aduan daripada orang awam mengenai ubat kuat dan suntikan vitamin C,” katanya dalam kenyataan hari ini (10 Nov).

Sehubungan itu, beliau berkata dakwaan laporan sebuah akhbar baru-baru ini yang menggambarkan penjualan dan pengiklanan produk kesihatan dan ubat-ubatan di pasaran dibiarkan secara berleluasa tanpa diambil tindakan adalah tidak tepat.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan produk-produk kesihatan dan ubat-ubatan yang dipasarkan di Malaysia berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dijual kepada orang awam,” katanya.

Norhaliza berkata pihaknya juga meningkatkan pemantauan terhadap ubat tidak berdaftar termasuk ubat kuat dan suntikan vitamin C yang dijual dalam talian dan terdapat pengiklanan serta penjualan keluaran di platform e-dagang yang dijual turut diarahkan supaya diturunkan.

“Sebanyak 19,862 iklan produk telah dimaklumkan untuk dipadamkan sejak tahun lepas hingga November 2021, manakala 1,665 bilangan pautan di media sosial dan platform e-dagang luar negara berkaitan ubat kuat dan suntikan vitamin C dimajukan kepada pentadbir platform bagi permohonan penurunan kandungan.

“Sebanyak 257 laman sesawang dimajukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan sekatan,” katanya.

Beliau berkata individu yang didapati bersalah menjual ubat tidak berdaftar boleh didenda tidak melebihi RM25,000 (S$8,119) atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 (S$16,238) atau hukuman penjara tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan berikutnya.

Sementara bagi syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 (S$32,477) bagi kesalahan berikut di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita