Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih RM100,000 bagi bantu pelajar dicuri; dedah Menteri Pendidikan M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih RM100,000 bagi bantu pelajar dicuri; dedah Menteri Pendidikan M'sia

Gambar fail Menteri Pendidikan M'sia Fadhlina Sidek. (Gambar: Facebook/Fadhlina Sidek)

IPOH: Terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) kewangan sewaktu pengeluaran wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 (S$31,000) yang dilarikan individu dalam satu kejadian di Beranang, Selangor pada Isnin (16 Jan).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata itu adalah antara maklumat awal yang diterima pihaknya dan kes itu kini dalam siasatan polis serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurut tatacara pengeluaran wang tunai yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pengeluaran wang tunai hingga RM10,000 (S$3,000) oleh pengetua atau guru besar hendaklah diiringi dua guru atau mendapatkan khidmat pengiring daripada polis jika mengeluarkan wang tunai melebihi RM10,000 (S$3,000).

"Kita ambil serius kerana kehilangan ini melibatkan jumlah yang cukup besar dan SOP kewangan telah dilanggar, kita ada SOP yang ketat bahawa (pengeluaran wang) lebih RM10,000 (S$3,000) mesti ada pengiring, ini kan pula satu jumlah yang amat besar."

"Kita sedang menunggu laporan polis dan JPN Selangor, kemudian kita umumkan tindakan yang akan diambil," katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Chepor pada Selasa (17 Jan).

Dalam kejadian pada 10.00 pagi semalam (16 Jan), seorang guru besar berputih mata selepas wang bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 (S$33,300) yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang hilang selepas dilarikan individu yang memecah tingkap kenderaannya di Semenyih.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan, berdasarkan keterangan guru besar terbabit, mangsa yang berpengalaman 10 tahun, mengendalikan transaksi pengeluaran wang tidak membuat sebarang permohonan polis pengiring kerana sudah biasa melakukan sebegitu.

Cik Fadhlina berkata pihaknya tidak akan berkompromi dalam hal berkenaan.

Beliau berkata kementerian akan mengembalikan semula wang itu kepada sekolah berkenaan memandangkan ia hak yang perlu dipulangkan kepada murid sekolah melalui proses yang sepatutnya.

"Tindakan kepada guru besar pula kita serahkan kepada JPN dan pihak polis. Ini untuk memberi jaminan bahawa kes ini sedang disiasat dengan teliti," katanya.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan