Lebih ramai warga asing dijangka beli hartanah di M'sia susuli cukai hartanah baru SG

(Gambar: Sumber web)
KUALA LUMPUR: Kumpulan teknologi hartanah global Juwai IQI menjangkakan langkah Singapura menggandakan cukai hartanah bagi warga asing pada minggu lalu berkemungkinan mendorong peningkatan kira-kira 15 peratus pembelian asing di Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Singapura menggandakan kadar cukai bagi warga asing yang membeli hartanah kediaman daripada 30 peratus kepada 60 peratus untuk mengelakkan daya apungan menyusuli permintaan hartanah mewah yang berlebihan daripada pembeli luar negara serta mengekalkan kemampuan memiliki rumah rakyat tempatan.
Kumpulan teknologi itu dalam satu kenyataan pada Selasa (2 Mei) menyatakan langkah tersebut akan mendorong lebih ramai pembeli asing kelas atasan untuk membeli hartanah di Malaysia, terutamanya di Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kebanyakan pembeli yang beralih arah ini akan mencari hartanah bernilai RM2 juta (S$601,281) ke atas,” katanya.
Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI Kashif Ansari menjangkakan peningkatan ketara pembeli asing yang mencari hartanah di Malaysia menyusuli pelaksanaan cukai baru itu.
"Malaysia berada di kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pelaksanaan cukai baru itu. Malaysia terletak bersebelahan dengan Singapura, jadi sewajarnya menjadikan ia tempat pertama yang menjadi pilihan kepada pembeli.
“Malaysia memiliki pelbagai pasaran hartanah metro yang setanding dengan keseluruhan pasaran Singapura, yang mudah untuk menampung sebilangan besar pembeli asing dari Singapura,” katanya.
Tambah Encik Ansari, banyak perniagaan dan pejabat keluarga yang berpusat di Singapura mempunyai pelaburan di Malaysia, yang membantu menjadikan kedua-dua negara sebagai rakan kongsi kedua terbesar antara satu sama lain dengan perdagangan rentas sempadan tahun lalu melebihi AS$110 billion (S$147 bilion).
“Malaysia sangat mengalu-alukan pelaburan hartanah asing, dan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disemak semula jelas disasarkan kepada pemohon yang lebih berkemampuan,” katanya.
Beliau juga berkata penjualan rumah Malaysia berjumlah RM94.3 bilion (S$24.2 bilion) tahun lalu, dengan urus niaga hartanah mewah menyumbang kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan, atau RM14 bilion (S$4.19 bilion).
“Gelombang baru pembeli asing bakal memberikan prospek yang baik kepada situasi hartanah tidak terjual, memandangkan 14 peratus kediaman tidak terjual berada dalam julat harga tertinggi iaitu RM1 juta (S$299,197) dan ke atas,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.