Lebih ramai pegawai imigresen ditugaskan di pintu masuk utama M'sia, kata Menteri
Anggaran Waktu Membaca:

Gambar fail: Agensi berita
PORT DICKSON: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menempatkan lebih ramai pegawai agensi itu di pintu masuk utama negara di Kuala Lumpur dan Johor pada masa akan datang mengikut keperluan bagi menambah kekuatan petugas sekali gus mengurangkan kesesakan di lokasi terbabit.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebagai permulaan, seramai 100 pegawai yang menamatkan latihan pada Ahad (21 Mei) akan ditugaskan di lokasi strategik iaitu Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor manakala 100 orang lagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 dan 2, bermula Isnin.
"... selain pasukan respons pantas yang kita tubuhkan secara ad hoc sebelum ini, saya optimis penugasan mereka juga meredakan isu kesesakan di pintu masuk," katanya kepada wartawan selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Asas, Tinggi dan Pengurusan Keimigresenan Siri 1 Tahun 2023 di Akademi Imigresen Malaysia (AIM) pada Ahad (21 Mei).
Kesemua pegawai terbabit adalah sebahagian daripada 222 orang yang menamatkan latihan itu dan bakinya akan ditempatkan di Bahagian Keselamatan dan Pasport Putrajaya, AIM serta JIM Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sarawak.
Beliau juga berkata JIM telah menyumbang RM5.2 bilion (S$1.5 bilion) kepada kutipan hasil negara pada 2022 termasuk melalui perkhidmatan agensi itu, kutipan hasil levi dan program seperti Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Katanya sepanjang tempoh 1 Januari hingga 18 Mei lepas, JIM telah melaksanakan sebanyak 3,147 operasi penguatkuasaan yang menyaksikan 35,387 individu diperiksa dan 21,125 pendatang tanpa izin ditahan.
Sumber : Bernama/SS/ss
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.