Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih ramai jemaah Haji boleh dijangkakan pada 2023, kata Menteri Kesihatan Saudi

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih ramai jemaah Haji boleh dijangkakan pada 2023, kata Menteri Kesihatan Saudi

(Gambar: Christina Assi/AFP)

Diterbitkan : 09 Jul 2022 09:25AM Dikemas Kini : 09 Jul 2022 09:26AM

ARAFAT: Menteri Kesihatan Arab Saudi Fahd Al-Jalajel menjangkakan keadaan kesihatan akan bertambah baik dan lebih ramai jemaah akan menunaikan ibadah Haji pada tahun depan. 

Dalam wawancaranya bersama stesen televisyen Al-Arabiya, menteri tersebut berkata: "Pihak kementerian mempunyai perancangan awal bagi Haji setiap tahun dan tahun ini, senario yang dijangkakan sudah ditetapkan lebih awal, dengan mengambil kira ancaman kesihatan, situasi semasa pandemik dan ketibaan vaksin." 

Encik Al-Jalajel turut mendedahkan bahawa Saudi sudah melakar perancangan awal bagi melindungi kesihatan jemaah, sambil menekankan bahawa status kesihatan jemaah sangat memberangsangkan. 

Menurut beliau lagi, hanya tiga kes strok matahari dicatatkan dalam kalangan jemaah. 

"Kes strok matahari yang dilaporkan pada Hari Arafah tidak tinggi dan jumlah kes di unit rawatan rapi (ICU) sangat rendah. 

"Pematuhan kepada protokol kesihatan dan meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan payung amat membantu," tegas Encik Al-Jalajel, seperti dinukil Saudi Gazette. 

Menurutnya lagi, tahun ini adalah pengalaman yang luar biasa bagi para jemaah memandangkan pandemik koronavirus masih berlegar-legar. 

Lebih ramai jemaah dapat menunaikan rukun Islam yang kelima itu dan ia turut menunjukkan manfaat maksimum yang diraih Saudi dan dunia dalam melaksanakan program vaksinasi. Vaksin memainkan peranan utama dalam hal ini.

Selain pandemik, ancaman kesihatan lain turut diambil kira seperti strok matahari, tekanan dan keletihan, terutama sekali pada musim panas, serta penyakit epidemik seperti cacar monyet. 

Encik Al-Jalajel turut menekankan betapa pentingnya persiapan awal dan persediaan prasarana Kementerian Kesihatan, selain menetapkan syarat-syarat, pemeriksaan awal dan proses pemantauan serta pemeriksaan mempunyai kesan yang berkesan terhadap keselamatan jemaah secara amnya sepanjang musim Haji tahun ini. 

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan