Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih dua juta jemaah solat tarawih di Masjidil Haram, Masjid Nabawi, buru Lailatul Qadar

Anggaran Waktu Membaca:
MAKKAH: Lebih dua juta jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah pada malam ke-27 Ramadan untuk menunaikan solat tarawih dan Qiyamullail, lapor Saudi Gazette.

Malam ke-27 Ramadan cukup signifikan bagi umat Islam, kerana sering dikaitkan dengan malam Lailatul Qadar.

Ketua Umum Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais, berkata segala urusan pergerakan jemaah berjalan dengan lancar dan dalam keadaan yang selesa.

Hampir 1.5 juta jemaah umrah melaksanakan ibadah tarawih dan Qiyamullail di Masjidil Haram dengan doa khas dipimpin Sheikh Sudais, menurut laporan Saudi Gazette itu lagi.

Pihak berkuasa Saudi membuat aturan keselamatan terperinci dengan ribuan pegawai serta pekerja kesihatan ditugaskan bagi memastikan kelancaran para jemaah.

Kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman digandakan sepanjang masa untuk memenuhi peningkatan jumlah jemaah.

Aliran keluar masuk ke masjid juga teratur dan terkawal dengan jemaah masuk melalui 118 pintu, termasuk tiga pintu untuk jemaah umrah, 68 pintu untuk jemaah umum, 50 pintu untuk kecemasan, dan 40 pintu dalaman, yang disokong pasukan teknikal.

Penguasa Hal Ehwal Lapangan di Masjidil Haram juga menyediakan lebih 5,000 kenderaan biasa untuk pengangkutan, 3,000 kenderaan elektrik, 200 tangga elektrik, dan 14 tangga bergerak bagi kemudahan warga emas dan orang berkeperluan khas.

Dalam pada itu, dianggarkan hampir 1 juta jemaah melaksanakan ibadah tarawih di Masjid Nabawi dalam keadaan terkawal dengan kapasiti yang penuh.

Timbalan Presiden Agung bagi Eksekutif dan Hal Ehwal Lapangan di Masjid Nabawi, Abdulaziz Bin Ali Al–Ayoubi, mengesahkan bahawa agensi perkhidmatan dan lapangan telah mempersiapkan Masjid Nabawi pada kapasiti penuh, termasuk menyediakan semua perkhidmatan terbaik untuk pelawat dan jemaah.
Sumber : Agensi berita/SU/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan