Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih dua juta jemaah beriktikaf di Masjidil Haram pada malam 27 Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih dua juta jemaah beriktikaf di Masjidil Haram pada malam 27 Ramadan

Gambar: Facebook/Haramain Sharifain

 

MAKKAH: Lebih dua juta umat Islam berkumpul di Masjidil Haram untuk beriktikaf pada malam 27 Ramadan untuk merebut ganjaran malam lailatulqadar, lapor BH Online memetik catatan Twitter akaun @hsharifain, akaun rasmi yang membawa laporan terkini Dua Masjid Suci umat Islam.

"Lebih dari 2 juta jemaah dan pengunjung menghadiri solat Qiyamullail di Masjidil Haram, Makkah pada Malam 27 #Ramadan 1443" catatan Twitter pada Khamis (28 Apr).

Iktikaf bermaksud seorang Islam berada dalam masjid untuk tujuan beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah, mengikuti contoh Nabi Muhammad SAW.

Tradisi ini biasanya dilakukan pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Dalam iktikaf, jemaah tinggal dan tidur serta melakukan solat sunah di masjid dan hanya meninggalkan masjid untuk berwuduk.

Kerajaan Arab Saudi bulan lalu, membatalkan kebanyakan sekatan COVID-19 termasuk aturan jarak selamat fizikal di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Menjelang malam ke 29 Ramadan adalah tempoh yang sibuk bagi penjaga dua masjid suci, apabila imam bersedia menyempurnakan bacaan al-Quran yang dimulakan sejak hari pertama Ramadan.

Menurut laporan BH Online, Pengarah Am Kesihatan Makkah mengesahkan akan berlaku peningkatan ketara jemaah pada 10 hari terakhir Ramadan dan pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, lebih 250,000 umat Islam turut membanjiri Masjid al-Aqsa di Baitulmakdis kelmarin sempena malam lailatulqadar.

Jemaah memenuhi bahagian dalam dan luar masjid yang menjadi antara tempat paling suci umat Islam itu, berhampiran Masjid Qubbah al-Sakhrah di Bandar Lama Baitulmakdis.

Suasana tegang kerana kehadiran pasukan keselamatan Israel yang sedang berkawal selepas pengebumian seorang warga Palestin, Mohammed Ghoneim, yang dibunuh tentera Israel dekat Baitulaham, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Jemaah berkumpul ketika meningkatnya ketegangan antara Israel dan Palestin, susulan siri serangan berdarah yang menyaksikan mangsa di kedua-dua belah pihak.

Sumber : Agensi berita/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan