Skip to main content

Dunia

Lebih banyak penerbangan di New York, Houston dan Washington ditangguh angkara kekurangan kakitangan

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak penerbangan di New York, Houston dan Washington ditangguh angkara kekurangan kakitangan

Menara kawalan dipaparkan selepas gangguan kawalan trafik udara yang menyebabkan penerbangan terhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di Newark, New Jersey, Amerika Syarikat pada 12 Mei 2025. (Gambar fail: REUTERS/Eduardo Munoz)

WASHINGTON: Masalah kekurangan kakitangan kawalan trafik udara menyebabkan kelengahan perjalanan di beberapa lapangan terbang di New York, Washington, Newark dan Houston, menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) pada lewat Khamis (23 Okt).

Ini sedang penutupan operasi pemerintah Amerika Syarikat memasuki hari ke-23.

FAA melaporkan isu kekurangan kakitangan di 10 lokasi berbeza dan mengeluarkan arahan supaya semua pesawat terus berada di lapangan terbang (ground stop) di Lapangan Terbang Houston Bush dan Newark.

Penerbangan di Lapangan Terbang Ronald Reagan Washington National mengalami kelengahan purata 31 minit, manakala New York LaGuardia mencatat kelengahan purata 62 minit.

Sekitar 13,000 pengawal trafik udara dan 50,000 pegawai Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) terpaksa bekerja tanpa gaji sepanjang tempoh penutupan operasi pemerintah ini.

Laman pemantau penerbangan FlightAware melaporkan lebih 4,200 penerbangan di Amerika ditangguhkan pada Khamis, termasuk lebih 15 peratus penerbangan di Reagan, Newark dan LaGuardia, serta 13 peratus di Bush.

Para pegawai persekutuan bimbang ketidakhadiran dalam kalangan pengawal trafik udara akan meningkat menjelang hujung minggu, kerana mereka dijangka tidak akan menerima gaji penuh pada Selasa.

“Kami bimbang akan berlaku kelengahan penerbangan yang ketara, gangguan dan pembatalan di lapangan terbang utama di seluruh negara semasa musim cuti ini,” kata Setiausaha Media Rumah Putih Karoline Leavitt.

Parti Democrat menolak dakwaan bahawa pihaknya bertanggungjawab atas situasi itu dan menuduh Presiden Donald Trump serta Parti Republican enggan berunding.

Isu kawalan trafik udara kini menjadi topik utama dalam perdebatan mengenai penutupan operasi pemerintah, dengan kedua-dua pihak saling menuding jari.

Kesatuan sekerja dan syarikat penerbangan mendesak agar krisis ini diselesaikan dengan segera.

Pada 2019, semasa penutupan operasi pemerintah selama 35 hari, jumlah ketidakhadiran dalam kalangan pengawal trafik udara dan pegawai TSA meningkat apabila pekerja tidak menerima gaji, menyebabkan masa menunggu lebih lama di pusat pemeriksaan keselamatan di beberapa lapangan terbang.

Pihak berkuasa terpaksa memperlahankan trafik udara di New York dan Washington, yang akhirnya memberi tekanan kepada penggubal undang-undang untuk menamatkan kebuntuan tersebut.

FAA kini kekurangan sekitar 3,500 pengawal trafik udara daripada sasaran tenaga kerja yang ditetapkan, dan ramai dalam kalangan mereka bekerja lebih masa secara mandatori serta enam hari seminggu sebelum penutupan operasi pemerintah bermula.
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita