Skip to main content

Dunia

Lebih 80 juta warga AS undi awal dalam pilihan raya Presiden

Lebih 80 juta rakyat Amerika telah membuat undian awal menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 3 November, lapor agensi Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 80 juta warga AS undi awal dalam pilihan raya Presiden

(Gambar: Agensi berita)

Diterbitkan : 30 Oct 2020 05:05PM Dikemas Kini : 30 Oct 2020 05:07PM

WASHINGTON: Lebih 80 juta rakyat Amerika telah membuat undian awal menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 3 November, lapor agensi Anadolu.

Hasil pengiraan oleh Projek Pilihan Raya AS mendapati pada Khamis (29 Okt) seramai 80,721,858 telah mengundi awal, dengan majoriti - lebih 52 juta -diterima menerusi undi pos.

Demokrat membentuk sebahagian besar daripada jumlah mereka yang mengundi awal, tetapi peratusannya semakin mengecil, turun lebih daripada 48 peratus pada Isnin. Parti Republikan pula mencatat sebahagian besar perbezaan, meningkat kepada 29.7 peratus daripada jumlah keseluruhan undian, manakala pengundi tidak bersekutu atau kurang stabil membentuk 22 peratus.

Lonjakan undian awal telah mengatasi jumlah yang dilihat pada 2016, apabila sekitar 58 juta orang membuat undian awal, menurut beberapa laporan media.

Pengundi mula beralih kepada pengundian melalui pos dan pengundian awal di tempat mengundi tahun ini di tengah-tengah kebimbangan kesihatan yang ditimbulkan oleh pandemik COVID-19.

Presiden Donald Trump telah menganggap pengundian melalui pos sebagai terlalu terdedah kepada penipuan tetapi tidak menyokong tuntutannya itu dengan bukti.

Demokrat telah mendesak untuk memperluas undi melalui pos sebagai cara yang selamat untuk mengadakan pilihan raya di tengah-tengah pandemik itu, yang telah menjangkiti hampir sembilan juta orang di AS dan membunuh lebih 228,000.

Sumber : Bernama/TQ/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita