Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 70 peluru ditemui pada bangkai gajah pygmy di Sabah

Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menyifatkan kematian gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, Khamis lepas, sebagai satu pembunuhan kejam dan hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemui dalam badan haiwan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 70 peluru ditemui pada bangkai gajah pygmy di Sabah

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 Sep 2019 03:49PM Dikemas Kini : 30 Sep 2019 03:52PM

KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menyifatkan kematian gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau, Khamis lepas, sebagai satu pembunuhan kejam dan hasil bedah siasat mendapati lebih kurang 70 peluru ditemui dalam badan haiwan itu.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata banyak peluru ditemukan dalam badan gajah betina itu sekali gus memberi bayangan keadaan gajah tersebut bertarung menahan kesakitan akibat terkena tembakan senjata api.

"Banyak peluru ada di badan gajah itu dan kita boleh bayangkan keadaan gajah waktu kena tembak... dalam keadaan kesakitan tetapi mungkin tidak mati dan mungkin sebab itu banyak tembakan dibuat (pemburu haram)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini (30 Sep).

Bagaimanapun, Encik Augustine tidak mahu mengulas lanjut perkara tersebut kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan yang masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian gajah sekali gus mengumpul bukti kukuh untuk membolehkan pihak tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan itu dihadapkan ke mahkamah.

"Kami berharap akan dapat menangkap orang yang membunuh gajah itu dan menyerahkannya kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman tegas," katanya, dan menambah siasatan tersebut tidak mempunyai tempoh masa, namun, ia perlu dibuat dalam masa satu bulan mengikut prosedur operasi standard jabatan.

Encik Augustine berkata jabatannya akan terus berusaha mendekati dan bekerjasama dengan masyarakat setempat bagi memastikan perkara sama tidak berulang selain meminta mereka membantu mencegah kegiatan pemburuan haram serta menjadi saksi sekiranya mengetahui atau melihat ada pihak melakukan kegiatan itu.

Pada Khamis lepas, sekumpulan pemancing menemui bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, dekat Tawau, dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.

Gajah betina dianggarkan berusia antara 11 hingga 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu ditemui dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan JHL mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan, akibat tembakan senjata api.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan