Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Lebih 70% kanak-kanak di 4 negara Asia Tenggara kurang zat makanan

Lebih 70 peratus kanak-kanak di empat negara di Asia Tenggara kekurangan nutrisi atau zat makanan, terutama kalsium dan vitamin D, dalam diet seimbang sehingga boleh membantutkan tumbesaran serta perkembangan mereka dengan baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 70% kanak-kanak di 4 negara Asia Tenggara kurang zat makanan

(Gambar hiasan: Naomi Shi/pexels)

Diterbitkan : 27 Jun 2022 09:22PM Dikemas Kini : 27 Jun 2022 09:36PM
KUALA LUMPUR: Lebih 70 peratus kanak-kanak di empat negara di Asia Tenggara kekurangan nutrisi atau zat makanan, terutama kalsium dan vitamin D, dalam diet seimbang sehingga boleh membantutkan tumbesaran serta perkembangan mereka dengan baik.

Pada masa sama, kira-kira 84 peratus kanak-kanak di empat negara tersebut - iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam - juga tidak memenuhi keperluan purata vitamin D.

Kekurangan nutrisi atau zat makanan itu masih menjadi cabaran besar dalam perkembangan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak di Asia Tenggara.

Data itu diperoleh menerusi kajian yang dilakukan oleh FrieslandCampina antara 2019 dan 2021, lapor BH Online. Ia diterajui universiti dan institusi penyelidikan di empat negara berkenaan, melibatkan hampir 14,000 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Kajian berkenaan mengetengahkan isu malnutrisi sebagai 'beban tiga kali ganda' kekurangan zat makanan.

Lebih membimbangkan, golongan itu juga didapati kekurangan zat makanan, mikronutrien dan berat badan berlebihan atau obesiti.

Kajian terbaru itu adalah kesinambungan daripada Kajian Tinjauan Nutrisi Asia Tenggara (SEANUTS) yang dibentangkan pada 2012.

Secara keseluruhan, SEANUTS II ini menunjukkan masalah bantut dan anemia atau kekurangan sel darah merah sihat masih wujud, terutama dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Bagaimanapun untuk kanak-kanak lebih berusia, terdapat kelaziman berat badan berlebihan dan obesiti yang lebih tinggi.

Malah, menurut laporan BH Online, kebanyakan kanak-kanak tidak mencapai keperluan purata pengambilan kalsium dan vitamin D.

TIDAK DAPAT MEMBESAR, BERKEMBANG DENGAN BAIK

'Beban tiga kali ganda' ini menjadikannya satu perkara yang sangat penting untuk memenuhi jurang nutrisi dengan intervensi pemakanan yang betul dan program pendidikan.

Mengulas mengenai dapatan kajian itu, Ketua Penyiasat untuk SEANUTS II di Malaysia, Prof Dr Poh Bee Koon, berkata pemakanan sihat adalah berkaitan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

Beliau, yang juga Profesor bidang nutrisi di Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menjelaskan bahawa jika kanak-kanak mengalami kekurangan nutrisi diperlukan, mereka tidak dapat membesar dan berkembang dengan baik.

"Kajian baru kami mendapati lebih 70 peratus kanak-kanak di empat negara terbabit tidak memenuhi keperluan purata untuk kalsium, manakala lebih 84 peratus tidak memenuhi keperluan purata vitamin D.

"Penemuan ini menunjukkan betapa pentingnya memperbaiki sekuriti makanan serta ketersediaan produk makanan yang memenuhi keperluan kanak-kanak, sekali gus meningkatkan akses kepada pemakanan sihat," katanya.

AMAL DIET SEIMBANG

Beliau berkata, diet seimbang perlu lengkap dengan buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat dan sumber protein termasuk dua hidangan produk tenusu setiap hari.

"Ia terkandung dalam syor Garis Panduan Pemakanan Malaysia 2020 yang mengesyorkan makanan seimbang perlu terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, karbohidrat dan makanan protein termasuk dua hidangan produk tenusu setiap hari," terangnya.

Bagaimanapun tambah beliau, seorang daripada empat kanak-kanak Malaysia mengambil kurang daripada 100 milimeter (ml) produk tenusu serta kurang daripada lima kali seminggu.

"Produk tenusu biasanya diambil ketika sarapan, namun seorang daripada tiga kanak-kanak di negara ini tidak mengambilnya ketika sarapan.

"Penyelidikan menunjukkan kanak-kanak mengalami bantut jika mengamalkan diet tidak seimbang serta lebih berkemungkinan mengalami anemia dan kekurangan zat besi.

"Pemakanan yang buruk juga mempunyai kesan negatif kepada perkembangan kognitif kanak-kanak dan berpotensi memberi kesan kepada kehidupan masa depan," jelasnya seperti ditukil BH Online. 

Pengarah Global, Penyelidikan dan Pembangunan FrieslandCampina, Margrethe Jonkman berpendapat bahawa penyelidikan adalah kunci untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik tentang keperluan pemakanan tempatan.

"Hasil kajian ini akan membantu FrieslandCampina dalam membangunkan produk yang lebih baik, mampu milik memenuhi keperluan pemakanan kanak-kanak serta dalam membangunkan program untuk menggalakkan diet seimbang dan gaya hidup aktif dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan, pekerja kesihatan dan sekolah," ujarnya.
Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan