Lebih 6,000 penunjuk perasaan tuntut pilihan raya Korea Selatan diadakan semula susuli kekurangan kertas undi
Seorang penunjuk perasaan dilihat dalam kalangan orang ramai yang mengerumuni pusat kiraan undi untuk membantah kontroversi mengenai kekurangan kertas undi di Seoul, Korea Selatan, 6 Jun 2026. (Gambar: REUTERS)
Ia selepas kekurangan kertas undi menyebabkan sebahagian pengundi gagal menunaikan hak mereka, lapor agensi berita Yonhap.
Orang ramai berkumpul di Stadium Bola Baling Olimpik SK iaitu lokasi undi bagi pilihan raya pada Rabu untuk memilih datuk bandar, gabenor wilayah, pegawai daerah dan anggota dewan tempatan, menurut saksi kepada Reuters.
Yonhap melaporkan jumlah kehadiran itu berdasarkan anggaran tidak rasmi pihak polis.
Para penunjuk perasaan melaungkan slogan dan mengangkat plakad bertulis 'Pilihan Raya Semula!', selain mengibarkan bendera kebangsaan negara itu.
Bagaimanapun, Polis Seoul tidak memberikan sebarang maklum balas ketika diminta mengulas.
Sekitar 12 penunjuk perasaan, kebanyakannya berusia lingkungan 20-an dan 30-an tahun, memberitahu Reuters mereka hadir selepas menonton video YouTube atau melihat catatan media sosial mengenai proses pengiraan undi serta aduan yang dibangkitkan.
"Saya mengikuti pilihan raya itu secara langsung dan apabila melihat laporan mengenai kekurangan kertas undi, saya merasakan perkara ini tidak boleh dibiarkan," kata penduduk Seoul berusia 21 tahun, Lee Ung-yeong.
"Penjelasan Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) tidak memadai. Jadi saya datang selepas waktu kerja," katanya.
Seorang lagi penunjuk perasaan, Park Gui-nam, 30 tahun, berkata ia adalah pencabulan hak mengundi.
Setakat ini, tiada kenyataan segera daripada NEC atau pemerintah berhubung tuntutan supaya pilihan raya baharu diadakan.
Beberapa jam sebelum tunjuk perasaan itu, ketua NEC mengumumkan peletakan jawatan bagi memikul tanggungjawab atas kekurangan kertas undi di beberapa kawasan.
Encik Roh Tae-ak berkata, tiada alasan boleh diberikan bagi kegagalan yang menjejas kepentingan awam serta proses demokrasi, sekali gus menimbulkan ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat.
Ketua Pejabat Dasar Pilihan Raya suruhanjaya itu, Yoon Jae-soo, berkata pada sesi taklimat bahawa 50 daripada 14,300 pusat mengundi kehabisan kertas undi, manakala proses pengundian terpaksa digantung sementara di 22 pusat mengundi akibat kelewatan bekalan.
Menurut Jae-soo, menyusuli kadar keluar mengundi yang tinggi pada dua hari pengundian awal minggu lalu, kertas undi hanya dicetak untuk separuh daripada jumlah pengundi yang layak mengundi pada Rabu.
Beliau berkata, jumlah kertas undi yang disediakan mencukupi untuk 73 peratus pengundi layak sepanjang tiga hari pengundian, manakala kadar keluar mengundi keseluruhan mencecah 63 peratus.
Pada hari mengundi iaitu Rabu, para pengundi di beberapa pusat mengundi terpaksa menunggu selama berjam-jam hingga lewat malam untuk membuang undi selepas pusat mengundi secara rasmi ditutup pada pukul 6.00 petang.
Di sebuah pusat mengundi di daerah Songpa, Seoul, sekumpulan orang ramai yang marah menghalang para pegawai daripada membawa kotak undi ke stadium berkenaan selepas proses pengundian tamat.
Di pusat itu, para penunjuk perasaan terus berkumpul dalam hujan sehingga pagi Jumaat (5 Jun) sebelum beratus-ratus anggota polis mengiringi pegawai suruhanjaya untuk mengambil dua peti undi terakhir, sekali gus membolehkan proses pengiraan undi ditamatkan secara rasmi pada petang Jumaat.
Encik Roh, yang juga Hakim Mahkamah Agung dan secara tradisinya mengetuai suruhanjaya pilihan raya, berkata pakar luar akan dilantik untuk menjalankan siasatan dan beliau akan menerima sebarang keputusan yang dicapai oleh panel berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.