Skip to main content

Dunia

Lebih 5,000 pekerja Starbucks mogok; jejas lebih 300 cawangan merata Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
NEW YORK: Mogok pekerja Starbucks di Amerika Syarikat dijangka meluas ke lebih 300 cawangan pada Selasa (24 Dis), dengan lebih 5,000 pekerja mengadakan mogok lima hari dan berakhir pada malam Krismas.

Starbucks, yang mengendalikan lebih 10,000 cawangan milik syarikat tersebut di seluruh Amerika Syarikat, menyatakan bahawa 98 peratus cawangannya kekal beroperasi walaupun sekitar 170 cawangan ditutup pada Selasa (24 Dis).

Bagaimanapun, kesatuan pekerja mendakwa lebih 290 cawangan "ditutup sepenuhnya" dan lebih 300 cawangan melancarkan mogok seperti yang dirancangkan di 45 negeri.

Mogok pada malam Krismas itu merupakan yang terbesar dalam sejarah rangkaian kedai kopi tersebut, menurut Starbucks Workers United.

Kesatuan pekerja dalam satu kenyataan menyatakan bahawa mogok tersebut adalah tanda awal kekuatan kesatuan dan ia baru sahaja bermula.

Kesatuan yang mewakili pekerja daripada 525 cawangan di seluruh negara itu telah mengadakan mogok di 12 bandar utama, termasuk New York, Los Angeles, Boston dan Seattle, sebagai bantahan terhadap isu gaji, kekurangan tenaga kerja dan jadual kerja.

Mogok bermula pada Jumaat lalu (20 Dis) selepas rundingan antara Starbucks dan pihak kesatuan menemui jalan buntu.

Starbucks enggan mengulas mengenai kesan keseluruhan mogok terhadap operasinya selepas sebelum ini menyatakan bahawa kesan mogok dijangka "sangat terhad".

Awal bulan ini, kumpulan pekerja menolak tawaran tanpa kenaikan gaji segera dan jaminan kenaikan gaji sebanyak 1.5 peratus pada tahun-tahun akan datang.

Kesatuan itu juga mendakwa bahawa Starbucks masih belum mengemukakan "cadangan ekonomi yang serius" kepada pekerjanya.

Starbucks sebelum ini mendakwa bahawa wakil kesatuan sudah menamatkan sesi rundingan lebih awal daripada yang dirancangkan.
Sumber : Agensi berita/AW/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita