Skip to main content

Dunia

Lebih 500 pelajar Indonesia jatuh sakit akibat makanan dibekalkan pemerintah

Lebih 500 pelajar di Jawa Timur, Indonesia, dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada hidangan yang dibekalkan pemerintah, menurut para pegawai wilayah pada Rabu (2 Sep), sedang pemerintah berusaha merombak agensi yang menyelia program makanan percuma berskala besar negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 500 pelajar Indonesia jatuh sakit akibat makanan dibekalkan pemerintah

Para pelajar berehat sambil menerima rawatan akibat keracunan makanan di hospital selepas memakan makanan percuma yang disediakan pemerintah di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia, pada 2 September 2026. (Gambar: REUTERS/Suryanto)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 05:05PM
JAKARTA: Lebih 500 pelajar di Jawa Timur, Indonesia, dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan yang disyaki berpunca daripada hidangan yang dibekalkan pemerintah, menurut para pegawai wilayah pada Rabu (2 Sep), sedang pemerintah berusaha merombak agensi yang menyelia program makanan percuma berskala besar negara itu.

Presiden Prabowo Subianto melancarkan program bernilai berbilion dolar itu tahun lalu bagi menangani masalah kekurangan zat makanan dengan menyediakan makanan percuma kepada puluhan juta kanak-kanak. Namun, program tersebut dibelenggu beberapa kontroversi termasuk kes keracunan makanan, dakwaan rasuah, perubahan kepimpinan dan kos yang tinggi.

Di wilayah Sidoarjo, Jawa Timur, lebih 500 pelajar jatuh sakit pada Selasa, kata Wakil Gabenor Jawa Timur Emil Dardak kepada saluran berita Kompas TV. Beliau berkata Badan Gizi Nasional, yang menyelia program makanan percuma tersebut, sedang menyiasat sama ada makanan tengah hari yang dimakan para pelajar merupakan puncanya.

Subandi, Ketua Pemerintah Daerah Sidoarjo, berkata kebanyakan daripada 516 pelajar yang dirawat di hospital sudah dibenarkan pulang. Encik Subandi, yang hanya menggunakan satu nama, berkata polis sudah mengambil sampel makanan tersebut sebagai sebahagian daripada siasatan.

Beberapa kes keracunan makanan besar-besaran sebelum ini turut dikaitkan dengan program tersebut. Badan pemantau bukan pemerintah, Jaringan Pemantau Pendidikan Indonesia (JPPI), menyatakan setakat 8 Ogos, sekitar 37,600 kes keracunan makanan dikaitkan dengan program tersebut.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan penyimpanan makanan yang tidak betul dan kelewatan menghantar makanan yang sudah dimasak sering kali menjadi punca keracunan makanan.

ROMBAKAN PROGRAM UTAMA

Kejadian keracunan itu berlaku sedang ketua baharu Badan Gizi Nasional berikrar untuk merombak program tersebut. Agensi itu sudah menutup ratusan dapur atas beberapa sebab, termasuk pelanggaran piawaian mutu.

Badan Gizi Nasional tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas berhubung kes keracunan di Sidoarjo.

Agensi itu melalui beberapa perubahan kepimpinan baru-baru ini, termasuk ketika bekas ketuanya ditangkap pada Jun atas tuduhan rasuah. Pemerintah juga telah mengurangkan skop program tersebut.

Para pelabur bimbang kos program tersebut boleh menyebabkan defisit kewangan negara menjadi lebih besar.

Pada Julai, tinjauan oleh Saiful Mujani Research and Consulting menunjukkan hanya satu pertiga responden berpuas hati dengan program itu, dengan kes keracunan yang dilaporkan disebut sebagai antara sebab utamanya.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita