Skip to main content

Dunia

Lebih 500 pekerja kesihatan di Indonesia terkorban akibat COVID-19

Pasukan mitigasi Ikatan Dokter Indonesia (IDI) mendedahkan bahawa sehingga penghujung Disember 2020, seramai 504 pekerja kesihatan terkorban akibat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 500 pekerja kesihatan di Indonesia terkorban akibat COVID-19

Gambar fail para pekerja jagaan kesihatan di Indonesia. (Gambar: Antara Foto/Nyoman Hendra Wibowo via Reuters)

Diterbitkan : 03 Jan 2021 06:16PM Dikemas Kini : 03 Jan 2021 06:26PM

JAKARTA: Pasukan mitigasi Ikatan Dokter Indonesia (IDI) mendedahkan bahawa sehingga penghujung Disember 2020, seramai 504 pekerja kesihatan terkorban akibat COVID-19.

Para kakitangan perubatan itu terdiri daripada 237 doktor, 15 doktor gigi, 171 jururawat, 64 bidan, 7 ahli farmasi, dan 10 pegawai makmal perubatan, menurut data dari persatuan itu pada Sabtu (2 Jan).

Doktor terdiri daripada 101 doktor am yang empat daripadanya adalah profesor, dan 131 doktor pakar, termasuk tujuh profesor dan lima doktor pelatih.

Kadar kematian COVID-19 di kalangan pekerja perubatan Indonesia adalah yang tertinggi di Asia, menurut IDI sambil menambah, warga Indonesia adalah antara lima negara teratas di dunia dari segi kematian pekerja perubatan.

Ketua pasukan mitigasi IDI, Dr Adib Khumaidi berkata peningkatan kadar kematian pekerja perubatan adalah akibat peningkatan kegiatan dan pergerakan dalam kalangan masyarakat umum semasa cuti dan pilihan raya daerah serentak, antara lainnya.

"Vaksinasi adalah usaha pencegahan dan bukan penyembuhan. Walaupun vaksin tersedia dan vaksinasi akan dilakukan, kami menggesa masyarakat untuk terus mematuhi protokol kesihatan sedang risiko dijangkiti virus kini mencapai tahap tertinggi di mana nisbah positif COVID-19 adalah 29.4 peratus. Keadaan akan menjadi lebih tidak terkawal jika orang ramai tidak membantu dengan mematuhi protokol kesihatan 3M (mencuci tangan, memakai topeng, dan menjaga jarak fizikal)," katanya.

Di samping itu, IDI juga merayu kepada pemerintah dan pihak pengurusan kemudahan kesihatan untuk memberi perhatian kepada ketersediaan alat pelindung diri untuk pekerja kesihatan dan melakukan ujian air kencing untuk memantau keadaan kesihatan mereka saat ini.

Perlindungan pekerja perubatan sangat penting kerana mereka berada di barisan hadapan dalam pertempuran melawan pandemik COVID-19, kata Dr Khumaidi.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita